KUALA LANGAT: Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor Berhad akan menganjurkan Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor pada 8 Februari di pekarangan Fo Guang Shan Dong Zen Temple, Jenjarom.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis yang dijangka menarik lebih 30,000 pengunjung.

EXCO Pelaburan, Perdagangan, dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han, berkata sambutan ini melambangkan perpaduan dan kebersamaan rakyat.

“Sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan tahun ini melambangkan semangat muhibah, kemajmukan, dan kebersamaan rakyat Selangor yang terbuka serta inklusif dalam meraikan sambutan perayaan di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, sambutan itu turut diadakan bersempena Pesta Tanglung dan Pameran Bunga-Bungaan yang bermula pada 25 Januari hingga 12 Februari, meliputi kawasan seluas 38 ekar.

“Antara tarikan utama ialah ‘tanglung raksasa’ berukuran 22 meter yang diinspirasikan daripada Legenda Ular Putih, selain turut dipamerkan ‘tanglung Selangor’ berukuran 28 kaki yang bertemakan Tahun Ular kali ini,” katanya.

xxx

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan, termasuk akrobatik, tarian kontemporari, persembahan pelajar sekolah, dan Tarian Singa sebagai pembukaan.

Tarikan lain termasuk Taman Lumbini yang dihiasi paparan orkid, kolam ikan koi, lampu LED, dan struktur 3D bercahaya.

Sebanyak 3,000 tempat letak kereta percuma turut disediakan untuk kemudahan pengunjung.

Sambutan ini akan berlangsung dalam dua sesi, iaitu sesi pertama bermula pada 5.30 petang dan sesi kedua pada 8.30 malam.