Persembahan dron tersebut tidak hanya menjadi tontonan indah, tetapi juga simbolik kepada hubungan diplomatik kedua-dua negara yang telah terjalin selama 50 tahun.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata persembahan tersebut mencerminkan hubungan yang kukuh antara Malaysia dan China, bukan sekadar hubungan antara kerajaan (G2G), tetapi juga melibatkan rakyat dan sektor perniagaan.
"Pertunjukan dron yang dipersembahkan oleh pasukan dari China di KLCC baru-baru ini, memperlihatkan betapa pentingnya hubungan diplomatik yang telah terjalin selama 50 tahun. Ia bukan sahaja berlandaskan hubungan kerajaan dengan kerajaan, tetapi juga kerjasama dalam perniagaan dan antara rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA, Jalan Ampang hari ini.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan, bersama beberapa pemimpin kerajaan dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.
Persembahan formasi lebih 1,000 dron itu berlangsung selama 20 minit dan turut menampilkan formasi-formasi menarik seperti ucapan "Happy Chinese New Year," Menara Kuala Lumpur, Menara 118, serta logo "Visit Malaysia 2026," wau, dan tanglung.
Persembahan ini adalah hasil kerjasama antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyuarakan harapan agar lebih ramai pelancong dari China akan mengunjungi Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Setakat ini, kita telah menerima 3.8 juta pelancong dari China, dan ini diharapkan dapat terus merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih baik antara kedua-dua negara," katanya.
-- BERNAMA