Justeru pakar perubatan kecemasan bertugas di kawasan itu, Dr Nabil Muhammad Al Kuddoos, menasihatkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak tolak-menolak antara satu sama lain.
Ketika ditemui Astro AWANI, beliau turut berpesan kepada pengunjung untuk berehat sebentar sekiranya keletihan sebelum meneruskan perjalanan mendaki tangga kuil.
“Jangan bertolak kerana kawasan sangat sesak terutama di pintu masuk utama dan tangga Batu Caves.
“Pastikan orang ramai mengambil langkah berjaga jaga. Saya faham ada nazar dan sebagainya, kalau penat ambil masa rehat sebentar,” katanya.
Tambah Dr Nabil, orang ramai juga dinasihatkan membawa air minuman selain dan minum air secukupnya berikutan cuaca panas terik di lokasi itu.
“Pastikan cukup air, kalau boleh bawa air mineral tambahan. Jangan paksa diri sampai penat, itu paling penting,” katanya.
Dianggarkan lebih 20,000 penganut Hindu termasuk pelancong luar berkunjung ke Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves sejak awal pagi ini.
Meski ada yang terpaksa berjalan lebih dua kilometer berikutan keadaan sesak, kebanyakan mereka yang datang dengan pakaian berwarna warni tetap gembira menghayati acara berkenaan.
Penganut Hindu hadir bagi menunaikan upacara sembahyang dan menyertai perarakan membawa kavadi serta belanga susu (paal kudam) sebagai sembahan kepada Dewa Thirumurugan, yang melambangkan kebijaksanaan, kemenangan dan kekuatan dalam masyarakat Hindu.