SHAH ALAM: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilepaskan dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, berhubung satu kes menghasut yang berkaitan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu ceramah politik pada Julai dua tahun lalu.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memberitahu, pihaknya tidak bercadang untuk meneruskan kes dihadapi Muhammad Sanusi, 51 tahun.

“Memandangkan pendakwaan tidak akan meneruskan kes pada masa depan susulan permohonan representasi telah diterima, maka tertuduh dilepaskan dan dibebaskan,” kata hakim.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud berkata, sebelum ini mahkamah menetapkan sepanjang minggu ini untuk perbicaraan kes terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat perkembangan terkini apabila Jabatan Peguam Negara telah menerima representasi yang dikemukakan pihak pembelaan kepada Ahli Jawatankuasa Pas Pusat tersebut.

“Susulan itu, pendakwaan memohon perintah lepas tanpa bebas atau DNAA kepada tertuduh,” katanya.

Mendengar perkara itu, peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Muhammad Sanusi memohon mahkamah memberikan perintah DNA, bukannya DNAA.

Menurutnya, pendakwaan telah menzahirkan niat untuk tidak meneruskan kes yang mana ia memberi maksud bahawa pertuduhan terbabit akan dihentikan.

“Sebaliknya, jika pendakwaan mencadangkan perintah DNAA, ia tidak menunjukkan niat untuk memberhentikan kes.

“Sepatutnya atau seadilnya perintah DNA dikeluarkan kerana keputusan lepas tanpa bebas akan menimbulkan perasaan tidak selesa serta tidak menggambarkan kehendak mereka untuk tidak meneruskan kes,” katanya.

Pada 18 Julai 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri, Kedah itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional didakwa atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong ke-16, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara- Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai 2023.

Kedua-dua kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 1 Februari 2024, perbicaraan dua kes itu dipindahkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi di sini.

Pada 26 September tahun lalu, Sultan Selangor berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Muhammad Sanusi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menerima permohonan itu atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

Pada 10 Disember tahun lalu, Muhammad Sanusi diberi perintah DNA oleh Mahkamah Tinggi sama, atas satu kes menghasut yang menyentuh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu ceramah politik, Julai tahun sama. - Sinar Harian