SHAH ALAM: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, memohon maaf kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu berhubung kes saman fitnah RM10 juta berkaitan kenyataan mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Susulan itu, kes saman Amirudin terhadap Sanusi, 51, selesai secara baik ketika prosiding dijalankan di hadapan Hakim Rozi Bainun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu selaku defendan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam kamar mahkamah sebagai salah satu terma penyelesaian kes saman tersebut.

Hakim kemudian merekodkan persetujuan antara kedua-dua pihak dan menerima surat permohonan maaf oleh Sanusi kepada Amirudin, 45, sebagai plaintif.

"Kes selesai dan ditutup sepenuhnya," kata hakim namun, mahkamah tidak membenarkan permohonan maaf Sanusi disiarkan kepada umum dan hanya direkodkan di mahkamah sahaja. - Sinar Harian


BERITA LANJUT MENYUSUL