Ringkasan AI
- Kerajaan menafikan suntikan dana RM1.1 bilion kepada Sapura Energy sebagai 'bailout', sebaliknya menyatakan ia adalah pelaburan strategik oleh PNB dalam bentuk saham boleh ditukar.
- Dana tersebut digunakan untuk menyelesaikan tunggakan bayaran kepada lebih 2,000 vendor Sapura Energy, dengan 80% vendor terdiri daripada syarikat bumiputera.
- Proses dan pengurusan Sapura Energy telah berubah, dan kerajaan mahu syarikat itu terus memainkan peranan penting dalam sektor minyak dan gas.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa dana tersebut adalah pelaburan strategik oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam bentuk saham boleh ditukar, bukan bantuan kewangan tanpa pulangan.
"Ia adalah satu pelaburan strategik yang berbeza sifatnya daripada 'bailout' seperti era bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dulu.
"Ini Madani, bukan Mahathir," katanya dalam sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.
Beliau menjelaskan, tindakan terhadap Sapura Energy tidak boleh dianggap sebagai 'bailout' kerana dana tersebut hadir dengan syarat khusus, iaitu dalam bentuk saham boleh ditebus dan ditukar menjadi pegangan saham.
"Kita sedia maklum bahawa dalam kes PNB, hasratnya adalah untuk mencipta nilai dan merealisasikan keuntungan yang akan dipulangkan kepada pendeposit dalam pelbagai instrumen seperti Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Wawasan.
"Maka, syarat yang dikenakan adalah dana ini digunakan khusus untuk menyelesaikan tunggakan bayaran kepada lebih 2,000 vendor Sapura Energy," jelas Fahmi.
Menurutnya, 80 peratus vendor Sapura Energy terdiri daripada syarikat bumiputera dan kerajaan akan meneliti perkara itu satu persatu.
"Kerajaan mengamalkan prinsip Madani, yang mana 'tiada makan tengah hari percuma'. Ini bukan duit percuma," katanya.
Sapura Energy, menerusi pemfailan di Bursa Malaysia pada Selasa mengumumkan telah menerima RM1.1 bilion sebagai pelaburan daripada syarikat tujuan khas di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).
Pelaburan tersebut akan digunakan secara eksklusif untuk membayar hutang syarikat minyak dan gas itu kepada lebih 2,000 vendornya.
Sapura Energy mula mengalami masalah kewangan sejak 2019 apabila mencatatkan kerugian tahunan yang berterusan.
Tiga tahun lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Ketua Pembangkang, mengkritik cadangan kerajaan untuk menyelamatkan Sapura Energy yang dibebani hutang.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, proses serta pengurusan Sapura Energy telah berubah, termasuk perubahan dalam kepimpinan tertinggi seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pasukan pengurusan.
"Jadi, dari segi itu, kita mahu Sapura Energy berada dalam kedudukan yang lebih mampan.
"Adalah amat penting dari sudut strategi untuk Sapura Energy terus memainkan peranan dalam sektor minyak dan gas," katanya. -- Sinar Harian
