ALOR SETAR: Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, terhadap empat tuduhan rasuah empat tahun lepas.

Mengikut pertuduhan pertama, Khairul Azhar Azmi, 36, didapati secara rasuah memperoleh suapan RM5,000 pada 15 Jun 2021 11.30 pagi di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Balai Polis Hi-Tech di Kulim.

Tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang itu didakwa menerima suapan sebagai dorongan untuk tidak menangkap dua individu disyaki melakukan kesalahan tipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Khairul Azhar turut berdepan pertuduhan cuba memperoleh rasuah RM15,000 sebagai upah untuk menutup satu kertas siasatan berkait suspek disyaki melakukan kesalahan sama pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh memperoleh rasuah RM1,000 di tandas lelaki balai polis sama pada 22 Jun 2021, manakala bagi pertuduhan keempat, Khairul Azhar didakwa menerima RM10,000 di hadapan sebuah kedai di Kuala Muda pada 24 Jun 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar manakala tertuduh diwakili peguam R. Arvend.

Hakim N Priscilla Hemamalini menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar manakala tertuduh diwakili peguam R Arvend.

-- BERNAMA