Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, sasaran itu adalah selari dengan visi kedua-dua negara untuk meningkatkan mobiliti dan kepelbagaian dalam perdagangan dan pelaburan, yang bakal memanfaatkan Malaysia dan Turkiye.
Sebagai rakan dagang terbesar Turkiye di ASEAN, beliau berkata, sejarah menyaksikan bagaimana hubungan baik serta pemahaman yang mendalam mengukuhkan lagi ikatan kedua-dua negara.
“Kami akan meneruskan usaha dalam bidang seperti industri pertahanan, pertukaran teknologi dan penghasilan bersama. Syarikat-syarikat kami juga sudah bersedia untuk berkongsi pengalaman dan produk dengan Malaysia, yang sudah pasti memanfaatkan kedua-dua negara.
“Dalam pertemuan dua hala sebentar tadi, kami menilai hubungan dalam pelbagai bidang seperti teknologi, tenaga, pelancongan, budaya dan pendidikan. Kami sangat berbesar hati tentang minat mendalam Malaysia terhadap Turkiye dan kami mengalu-alukan penglibatan yang lebih meluas,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Malaysia yang bermula pada Isnin.
Terdahulu kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran 11 perjanjian persefahaman (MoU) di antara dua negara melibatkan kementerian dan agensi.
MoU tersebut merangkumi beberapa bidang kritikal, antaranya perubahan tenaga; pengurusan bencana; hubungan diplomatik; penerokaan Artik dan Antartika; dan pertahanan.
Selain itu, sistem komunikasi; pengurusan bandar pintar, trafik dan keselamatan; perlindungan pengguna; perolehan aset; dan kerjasama pengurusan media.
Lawatan Erdogan adalah atas jemputan Anwar, mengeratkan hubungan kukuh antara kedua-dua negara.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dengan Turkiye ialah RM24.13 bilion (USD5.28 bilion) pada 2024, merekodkan peningkatan 18.7 peratus dari 2023.
Dalam pada itu Erdogan berkata, Turkiye ingin menarik perhatian tentang industri penerbangannya, yang mempunyai peranan kritikal untuk mengukuhkan hubungan sesama rakyat.
Selain itu beliau berkata, Turkiye bersetuju untuk mengukuhkan hubungan dengan Pusat Kebudayaan Turkiye Emre Yunus di negara ini melalui Yayasan Malaysia-Turkiye
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)