KUALA LUMPUR: Seorang saksi penting dalam perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng mengakui di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa antara sebab beliau membayar RM19 juta kepada orang tengah bernama G. Gnanaraja adalah kerana diugut akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) berhubung penglibatannya dalam projek terowong bawah laut Pulau Pinang yang kontroversi.
Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 52, berkata, beliau menerima ugutan daripada Gnanaraja melalui mesej Whatsapp, yang mengandungi nama dan nombor pengenalan Zarul.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim, saksi pendakwaan ke-23 itu berkata. beliau membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung ugutan itu apabila ditahan oleh suruhanjaya itu selama 11 hari pada Januari 2018.
"Siasatan terhadap Gnanaraja bermula selepas saya dibebaskan daripada tahanan SPRM. Saya disoal oleh badan pencegah rasuah tentang laporan yang saya buat terhadapnya.
"Bagaimanapun, saya tidak ditunjukkan mesej Whatsapp yang dicetak daripada perbualan semasa siasatan. Mereka (SPRM) hanya menunjukkan kepada saya mesej (WhatsApp) terus daripada telefon Gnanaraja," katanya.
Zarul juga bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa CZCSB akan terjejas jika prosiding AMLA terhadapnya diteruskan.
Terdahulu, Gobind dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bertelagah mengenai salinan kenyataan Gnanaraja yang direkodkan oleh SPRM semasa siasatan.
Gobind meminta pihak pendakwaan mengesahkan sama ada mesej WhatsApp antara Zarul dan Gnanaraja telah dikurangkan kepada satu kenyataan dan Wan Shaharuddin menjawab bahawa bukan beban pihak pendakwaan untuk membantu pihak pembelaan dalam perkara tersebut.
Peguam itu seterusnya berkata, pihak pendakwaan juga masih belum menjawab permohonan mereka untuk mendapatkan salinan mesej WhatsApp Gnanaraja yang mereka mohon minggu lepas.
Wan Shaharuddin menjawab beliau masih berusaha mendapatkannya daripada pegawai penyiasat lain dan akan mengesahkannya esok.
Lim, 61, didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.
Lim dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga didakwa meminta 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu daripada Zarul Ahmad, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.
Lim, juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok. - BERNAMA
Bernama
Mon Aug 08 2022

Saksi penting dalam perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata, sebab beliau membayar RM19 juta kepada orang tengah adalah kerana diugut akan didakwa mengikut AMLA.

Rusia sedia sambung perbincangan berkenaan Ukraine - Putin
Dalam masa sama, kata Putin, membina semula kepercayaan dengan Amerika Syarikat adalah penting bagi mencapai kemajuan bermakna.

WHO lapor penyakit baharu belum dikenal pasti di DR Congo
Dua kluster kes dan kematian berkaitan penyakit tidak dikenal pasti itu telah dikesan di dua zon kesihatan di Wilayah Equateur, DR Congo.

ACLE: Ini sebab Shandong Taishan tarik diri walau layak ke pusingan 16
Keputusan dibuat disebabkan ketidakselesaan fizikal yang serius membabitkan pemain-pemain dan selepas penilaian dibuat oleh pasukan perubatan.

Shandong Taishan tarik diri saingan ACL Elite, laluan JDT masih samar
Shandong Taishan FC memutuskan untuk tidak menyertai perlawanan Peringkat Liga Zon Timur menentang Ulsan HD FC dari Korea Selatan semalam.

Melaka perhebat program gotong-royong hapus Aedes
Usaha itu selaras dengan komitmen berterusan Jabatan Kesihatan Negeri dalam memusnahkan tempat pembiakan yang boleh merisikokan penduduk.

WHO lancar kempen vaksinasi polio besar-besaran di Gaza Sabtu ini
Kempen vaksinasi polio besar-besaran dirancang bermula di #Gaza Sabtu ini (22 Februari), dengan sasaran lebih 591,000 kanak-kanak berumur bawah 10 tahun.

Rusia buka kedutaan di tujuh negara Afrika menjelang 2026
Menjelang 2026, Rusia berhasrat untuk membuka kedutaan di Gambia, Liberia, Comoros, Niger, Sierra Leone, Togo dan Sudan Selatan.

Maldives akan usir ekspatriat gagal serah data biometrik
Operasi Kurangi, yang dilancar pada Mei 2024, bertujuan untuk menyediakan penyelesaian kekal kepada isu pendatang tanpa dokumen di Maldives.

Rusia, Syria akan adakan perbincangan peringkat tinggi minggu depan
Rusia dan Syria dijadual mengadakan perbincangan peringkat tinggi minggu depan, kata Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov.

Nilai pelaburan asing diluluskan Januari-September 2024 berjumlah RM254.7 bilion
Jumlah itu melibatkan 4,753 projek dan dijangka menjana sebanyak 159,347 peluang pekerjaan baharu.

"Saya bayar RM19 juta kepada orang tengah kerana diugut" - Pengarah syarikat
Zarul Ahmad berkata, dia diugut akan didakwa mengikut AMLA kerana terlibat dalam projek terowong bawah laut Pulau Pinang.