IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau kehilangan seorang sahabat baik ekoran pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, semalam.

Menurutnya, secara peribadi, hubungan mereka baik sejak sebelum Allahyarham menjadi Ketua UMNO Bahagian Tapah pada  2018.

Malah, katanya, arwah juga seorang wakil rakyat yang sentiasa mengutamakan rakyat dan sentiasa menyuarakan masalah mereka, termasuk di dalam sidang DUN.

“Paling akhir (bertemu) ialah pada hari Jumaat petang baru ini, apabila saya mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak), di mana dia turut bercakap memberi pendapat dan pandangan dalam beberapa isu yang dibincangkan,” katanya.

Saarani ditemui selepas menziarahi jenazah Allahyarham Ishsam di Desa Seri Ampang di sini, hari ini.

Beliau mengakui terkejut apabila dimaklumkan mengenai pemergian ADUN Ayer Kuning itu petang semalam.

“Saya dalam perjalanan ke Lumut (ketika menerima berita) sebab sepatutnya saya ke Pulau Sembilan pagi ini untuk program menabur benih karang, tetapi saya patah balik (ke Ipoh)," jelas beliau.

Sambil menyatakan rasa sedih, Saarani turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. 

Saarani serta barisan exco kerajaan negeri antara yang dilihat menziarahi keluarga Allahyarham pagi ini.

Jenazah Allahyarham Ishsam tiba di kediamannya kira-kira 12.30 malam tadi selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Pulau Pinang.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid An-Nur dekat sini untuk dimandi dan disolatkan sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia.