PUTRAJAYA: “Saya dapat tahu mereka akan keluar empat tahun daripada sekarang, dan jika mereka datang minta maaf, saya sedia maafkan, tapi hakikatnya, arwah tak akan hidup kembali.”


Ringkasan AI
  • Mahkamah Persekutuan mengembalikan hukuman penjara 18 tahun kepada enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas tuduhan membunuh tanpa niat Zulfarhan Osman Zulkarnain.
  • Ibu bapa Zulfarhan, Hawa Osman dan Zulkarnain Idros, merasa sugul dan tidak menyangka mahkamah akan membenarkan rayuan tertuduh. Mereka menyatakan kesediaan untuk memaafkan, tetapi tidak sepenuhnya.
  • Zulkarnain menasihatkan agar tertuduh tidak menemuinya selepas menjalani hukuman untuk mengelakkan luka lama berdarah kembali, walaupun luka sudah sembuh, parut tetap ada.


Demikian kata ibu Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, Hawa Osman selepas Mahkamah Persekutuan, di sini, pada Jumaat, mengembalikan hukuman penjara 18 tahun kepada enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu atas tuduhan membunuh tanpa niat.

Raut wajah Hawa, 62, yang ditemani suaminya, Zulkarnain Idros turut kelihatan sugul selepas mendengar keputusan terbabit.

Mereka tidak menyangka mahkamah akan membenarkan rayuan kesemua tertuduh yang menyebabkan kematian anak mereka.

“Sebelum ini, dua keluarga tertuduh ada jumpa kami dan mereka sendiri kata tidak reda dengan perbuatan anak-anak terhadap Zulfarhan.

“Saya maafkan mereka tetapi bukan sepenuhnya, sebab kami tahu arwah tidak melakukan sebarang kesalahan terhadap semua tertuduh itu,” katanya.

Sementara itu, Zulkarnain, 61, berkata, sebaiknya kesemua tertuduh ini tidak menemuinya selepas selesai menjalani hukuman pemenjaraan.

“Lebih baik tidak datang, takut luka lama berdarah kembali, luka yang ada ini sudah sembuh tapi parut tetap ada.

“Ini yang terbaik untuk ketenangan kedua-dua pihak,” katanya yang ditemui selepas prosiding selesai.

Pada Jumaat, enam bekas pelajar UPNM yang dihukum gantung kerana membunuh tanpa niat Zulfarhan Osman, lapan tahun lalu bernasib baik apabila Mahkamah Persekutuan di sini memerintahkan mereka dijel 18 tahun.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohamed Hashim memutuskan demikian selepas mengetepikan hukuman Mahkamah Rayuan dengan mengembalikan keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2021 lalu. -Sinar Harian