Ringkasan AI
- Nur Izyan Mustafa Khalid, isteri kepada ADUN Gurun, Baddrol Bakhtiar, reda dengan kehilangan anak bongsu lelaki mereka, Muhammad Darwisy, yang meninggal dunia pada awal Ramadan.
- Muhammad Darwisy, yang dilahirkan pramatang dan mengalami masalah kesihatan, ditemukan tidak memberi tindak balas pada awal pagi dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan.
- Jenazah Muhammad Darwisy dimandi dan dikafankan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Solihin di Taman Kelisa.
Nur Izyan Mustafa Khalid, 37, berkata walaupun berat ujian yang terpaksa ditempuh namun terpaksa melepaskan anak kesayangan Muhammad Darwisy, 12 bulan, pergi menghadap Ilahi.
Dia yang juga guru sebuah sekolah di daerah ini, masih terkejut dengan kehilangan anaknya ketika awal Ramadan.
"Anak bongsu lelaki saya dilahirkan pramatang dan sejak kecil dia didiagnos mengalami sakit jatung dan paru-paru serta menggunakan mesin sokongan untuk membantunya bernafas.
"Awal pagi tadi saya terkejut apabila mendapati dia tidak memberi tindak balas ketika memberinya susu sebelum memaklumkan kepada suami," katanya semasa ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini hari ini.
Kata Nur Izyan, dia berasa tidak sedap hati selepas suaminya yang juga bekas pemain kebangsaan itu memintanya bertenang dan bersabar selepas mendapati muka Muhammad Darwisy berubah kebiru-biruan sebelum bertindak menghubungi ambulans.
"Bagaimanapun sebaik kakitangan Kementerian Kesihatan tiba dan memeriksanya kami dimaklumkan Muhammad Darwisy telah meninggal dunia," katanya.
“Anak lelaki bongsu ini kembar dan dia perlu minum susu tiga jam sekali yang diberi menggunakan tiub khas dan sejak dia lahir.
"Walaupun dia mengalami masalah kesihatan namun kami semua menyayanginya kerana dia merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga kami.
"Tiada kata-kata lain yang saya mampu ucapkan melainkan hanya berserah pada Allah sahaja, tambahan lagi dia meninggal dalam bulan Ramadan yang mulia," katanya.

Muhammad Darwisy meninggal dunia di rumah keluarga di Resort Homes Cinta Sayang lebih kurang pukul 3.15 pagi tadi.
Jenazah dimandi dan dikafankan di HSAH dan disembahyangkan di Masjid Al-Muttaqin sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Solihindi Taman Kelisa.
Turut kelihatan menziarahi jenazah ialah Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan & Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Radhi Mat Din.
Baddrol sebelum bergelar ADUN Gurun selepas menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN ke-15) pada 2023.
Beliau juga merupakan bekas pemain skuad Malaysia B20, B23 dan pasukan kebangsaan serta bekas ketua pasukan Kedah Darul Aman FC.
