KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan panduan ringkas, 'Navigating the Transition: A Guide for Boards' (Panduan Lembaga Pengarah) untuk menyokong lembaga pengarah syarikat dalam mengguna pakai Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF).

Dilancarkan pada September tahun lepas, NSRF merupakan langkah penting dalam memajukan agenda kemampanan korporat Malaysia.

SC dalam satu kenyataan hari ini berkata, penerbit tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia dan ACE serta syarikat besar tidak tersenarai (NLCos) dengan hasil tahunan sebanyak RM2 bilion dan ke atas perlu mematuhi keperluan pelaporan baharu dalam pendekatan berperingkat.

"NSRF menangani penggunaan Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa IFRS yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) termasuk IFRS S1 dan IFRS S2.

"Piawaian ini memastikan pendedahan kewangan berkaitan kemampanan konsisten dan setanding.

"Panduan Lembaga Pengarah menyediakan langkah mudah dan boleh diambil oleh lembaga pengarah dalam bidang seperti tadbir urus, sempadan data kemampanan, penilaian impak kewangan dan penyepaduan dengan sistem pengurusan risiko perusahaan," kata SC.

Menurut SC lagi, syarikat besar (permodalan pasaran RM2 bilion dan ke atas) yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia memulakan pelaksanaan NSRF pada tahun ini sekali gus menggariskan komitmen Malaysia terhadap amalan terbaik global dalam kemampanan korporat.

Sementara itu, Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata NSRF bukanlah alat pematuhan, tetapi merupakan rangka tindakan untuk menerapkan kemampanan dalam pertimbangan keputusan korporat.

"Dengan panduan ini, kami melengkapkan lembaga pengarah bukan sahaja untuk memenuhi piawaian global tetapi untuk memimpin dengan tujuan dan daya tahan dalam membentuk masa depan yang mampan untuk Malaysia," katanya.

Untuk terus menyokong peralihan ini, Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kelestarian (ACSR) memperkenalkan PACE (Dasar, Andaian, Kalkulator, Pendidikan), satu inisiatif yang menawarkan latihan, alatan dan sumber untuk memenuhi keperluan NSRF dalam menerima pakai piawaian ISSB.

"Inisiatif PACE lain yang akan datang termasuk Modul Kebolehoperasian antara Inisiatif Pelaporan Global (GRI) dan Piawaian Pendedahan Kemampanan IFRS, Laporan Kemampanan Ilustrasi untuk menyediakan rujukan ilustrasi kepada syarikat untuk membimbing pendedahan mereka dan Program Penyedia NSRF untuk membina kapasiti," kata SC.

Panduan Lembaga Pengarah dan sumber lain yang berkaitan boleh didapati di www.sc.com.my/nsrf.

-- BERNAMA