Ketua Pegawai Eksekutif SEB Datuk Sharbini Suhaili berkata pihaknya juga telah menyediakan pelan kontingensi bagi memastikan pemulihan bekalan dapat dilakukan dengan pantas sekiranya berlaku gangguan.
"SEB komited memastikan perkhidmatan yang cekap dan berdaya tahan untuk kesejahteraan rakyat, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan," katanya ketika berucap pada majlis Berbuka Puasa SEB di sini pada Selasa.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melalui talian hotline SEB atau saluran rasmi yang disediakan.
Sharbini berkata pihaknya akan meneruskan inisiatif menyokong komuniti selaras dengan fokus pelaburan sosial yang merangkumi pendidikan dan pembangunan belia, pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar, pemeliharaan budaya dan warisan, serta pembangunan komuniti dan keusahawanan.
"Sebagai sebahagian daripada usaha ini, syarikat terus melabur dalam bidang pendidikan melalui Program Biasiswa Sarawak Energy yang menyediakan bantuan kewangan kepada belia Sarawak yang melanjutkan pengajian.
"Setiap tahun, kira-kira 150 pelajar di Sarawak menerima sokongan melalui program ini dengan keutamaan diberikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dalam komuniti yang berdekatan dengan projek SEB," katanya.
-- BERNAMA
