Panel tiga hakim diketuai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan Yew Wei Liang, 47, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 Dis 2023.
Hakim itu berkata mahkamah memandang berat kejadian yang berlaku supaya dapat memberi mesej kepada masyarakat agar tidak mengambil undang-undang di tangan sendiri dengan bertindak sesuka hati.
"Kami mendapati sabitan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi adalah selamat dan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim itu tidak berlebihan. Oleh itu, hukuman berkenaan dikekalkan," kata Hakim Che Mohd Ruzima yang bersidang bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.
Sementara itu, Hakim Che Mohd Ruzima turut menolak rayuan silang pendakwaan bagi mengembalikan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap Yew atas dakwaan membunuh selepas mendapati rayuan berkenaan tidak bermerit.
Pada 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun terhadap Yew bermula dari tarikh tangkap pada 10 Ogos 2019 selepas mendapati lelaki itu bersalah menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial.
Hakim Julia Ibrahim membuat keputusan itu selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan boleh dikenakan denda.
Pada 22 Ogos 2019, Yew didakwa membunuh Syed Muhammad Danial, 29, di Kilometer 293.6 di Lebuhraya Utara-Selatan (Kuala Lumpur-Seremban) di sini antara 1 tengah hari dan 2 petang 10 Ogos 2019 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.
Dalam rayuan silang, Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh atas kesalahan menyebabkan kematian.
"Tertuduh telah menyatakan bahawa kejadian itu berlaku dengan cepat dan pendakwaan berhujah walaupun tempoh itu singkat, ia tidak menghalang mahkamah membuat inferens terdapat satu niat untuk mencederakan dan menyebabkan kematian mengikut Seksyen 300 Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau berhujah tertuduh dalam keterangan membela diri menyatakan dia nampak si mati (Syed Muhammad Danial) yang memegang kayu besbol meluru ke kereta dipandunya menyebabkan tertuduh menukar gear daripada 'reverse' ke 'drive' sebelum melanggar si mati.
"Tertuduh menyatakan dia rasa nyawa terancam dan ingin melindungi diri sendiri dan isterinya yang ketika itu mengandung yang berada dalam kenderaan itu," katanya.
Beliau berkata berdasarkan rakaman video saksi pendakwaan ke-19 iaitu isteri tertuduh di tempat kejadian, menunjukkan tertuduh bukan dalam keadaan untuk melindungi diri dan harta (kereta) tetapi dia dalam keadaan marah dan 'to teach the deceased a lesson' dan hukuman penjara 16 tahun adalah hukuman yang wajar dan tidak berlebihan.
Sementara itu, peguam Datuk N. Sivananthan yang mewakili Yew berkata kejadian berlaku sangat pantas dan anak guamnya tidak berniat untuk melakukan perbuatan berkenaan.
"Dia 'blank' (kosong) ketika itu dan kejadian 'move car' adalah untuk mempertahankan diri daripada dipukul si mati menggunakan kayu besbol," kata peguam itu yang turut memohon supaya mahkamah mengenakan penjara antara tujuh hingga lapan tahun.
-- BERNAMA
