SHAH ALAM: Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan motosikal Honda Dash musnah dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Tengku Badrishah di Taman Klang Ria, Klang dekat sini petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata kejadian kira-kira 1 tengah hari itu menyaksikan rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi berkenaan musnah 50 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1.16 tengah hari sebelum menggerakkan 12 pegawai dan anggota bersama jentera dari dua balai bomba berdekatan ke lokasi kejadian.

"Insiden berkenaan turut melibatkan masing-masing sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan motosikal musnah 100 peratus, manakala satu lori satu tan terbakar lima peratus,"

"Kebakaran berjaya dipadamkan pada 1.58 tengah hari dan kerja-kerja overhaul terus dilakukan sebelum ia padam sepenuhnya pada 2.13 petang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, tular di laman Facebook rakaman video berdurasi 2.35 minit memaparkan beberapa anggota bomba giat memadamkan kebakaran serta berlakunya percikan api di sebuah kediaman.

-- BERNAMA