Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia akan bermula dengan latihan kepada guru dan penilaian modul bersesuaian dalam memastikan agenda pemerkasaan ilmu berteraskan al-Quran itu mencapai objektif ditetapkan.
"Kita sasar untuk mula tahun ini dan kita ada 23 sekolah menengah agama di bawah JAIS. Kita akan cuba lakukan pendekatan ini dengan memberi latihan (kepada guru), kita lihat impak dan kesannya dulu.
"... kalau kesannya baik kita akan tambah baik pengajian dengan cadangkan kepada guru agama supaya masukkan elemen STEM dan memperkasakan pengajaran bidang itu kepada pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Festival Seni Al-Quran Antarabangsa Restu 2025 dan Pelancaran Program STEM Berasaskan Al-Quran di sini hari ini.
Amirudin berkata perbincangan lanjut juga akan dilakukan dengan Kementerian Pendidikan bagi memasukkan sukatan pelajaran STEM berasaskan al-Quran dalam pengajaran di sekolah terbabit sekali gus menambah baik program sedia ada di bawah kelolaan kerajaan negeri.
"Di Selangor juga kita ada lima Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Selangor (MITS), dan inisiatif ini selaras dengan hasrat yang telah diumumkan sebelum ini iaitu melahirkan penghafal al-Quran yang mahir dan fasih dalam bidang STEM," katanya.
Majlis pada hari ini turut menyaksikan tandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Restu dan Al-Kauthar Eduqids bagi Projek Wakaf 1 Juta al-Quran bertujuan untuk mengagihkan kitab suci itu ke seluruh dunia khususnya ke kawasan yang memerlukan seperti komuniti Muslim minoriti, pusat tahfiz dan institusi pendidikan Islam.
-- BERNAMA