Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata, pihak berkenaan dinasihatkan supaya melupakan hasrat tersebut, kerana penguat kuasa PBT telah diminta untuk sentiasa berada di lokasi bagi menjamin kawasan bazar Ramadan yang melibatkan 15,882 tapak, tidak dicerobohi peniaga haram.
"Peniaga yang mempunyai permit sah tidak perlu bimbang, kerana penguat kuasa kita sentiasa ada dan memerhati sekiranya ada yang cuba mengambil kesempatan berniaga tanpa kebenaran.
"Selangor telah lama mengguna pakai tatakelola yang baik dari segi pengagihan permit... kepada peniaga 'rambo' yang cuba berniaga tanpa permit, saya nasihatkan lupakan hasrat tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan permit dan kit bazar Ramadan 2025, di sini, pada Rabu.
Mohd Najwan turut mengingatkan pemegang permit bazar Ramadan di negeri itu untuk berdisiplin, mengikut peraturan dan jujur dalam menjalankan perniagaan, dengan tidak menyerahkan permit kebenaran berniaga yang diberikan PBT kepada pihak ketiga.
Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan 1,500 permit perniagaan kepada penjaja di 36 lokasi terpilih sepanjang Ramadan, termasuk lokasi yang telah diswastakan untuk diuruskan oleh pihak lain.
Pemangku Timbalan Setiausaha Pengurusan MBSA, Norhisham Mohammad berkata, kesemua permit berkenaan dikeluarkan kepada para pemohon yang membuat permohonan secara dalam talian bermula 2 Dis 2024 hingga 5 Jan, menerusi sistem E-Penjaja MBSA.
Antara lokasi bazar Ramadan tersebut ialah di Seksyen 6, 7, 8, 9, 13, 16, 17, 18, 19, 20, 24, 25, 27, 28, U2, U3, U5, U8, u13 dan U20.
Beliau berkata, peniaga terpilih telah memenuhi syarat kelayakan pemohon, syarat bagi pembantu jualan dan syarat jualan yang ditetapkan, termasuk menjawab 18 soalan khas berkaitan video pengendalian makanan bagi menguji tahap kefahaman dan ketersediaan sebelum berniaga.
"Setiap permit perniagaan dikenakan bayaran sebanyak RM250, RM280 dan RM340 mengikut kategori atau jenis jualan," katanya. - BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)