Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata selaras dengan itu, perkara berkenaan kini dalam proses rundingan terperinci.
"Jemaah Menteri mengalu-alukan supaya negeri-negeri lain juga mengambil langkah yang sama supaya kita dapat meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan pembersihan awam di negara kita.
"Kebersihan juga adalah kewajipan kita semua. Oleh kerana itu, saya nak jadikan Malaysia paling bersih, indah dan selamat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.
Akta 672 bermatlamat memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawalseliaan perkara berhubung pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
Mengulas mengenai tapak pelupusan sampah haram di Kampung Seri Sentosa, Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor, Nga berkata pihaknya akan membawa perkara itu ke perhatian kerajaan Selangor agar tindakan pencegahan diambil.
Akhbar tempatan hari ini melaporkan tapak pelupusan itu yang dahulunya seluas 20 hektar, kini semakin melebar kepada kira-kira 52 hektar.
Ia berlaku ekoran aktiviti pelupusan sampah, sisa industri, pembinaan dan domestik oleh pihak tidak bertanggungjawab tanpa kawalan pihak ber-kuasa dan keadaan itu jelas mengancam kesihatan penduduk yang mendiami kira-kira 3,000 buah rumah meliputi Kampung Sri Sentosa, Bandar Seri Coalfields, Alam Perdana dan Daunan Worldwide.
Terdahulu, Nga bersama lebih 2,500 warga KPKT, jabatan dan agensi dan pihak berkepentingan turut serta dalam kemeriahan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 bertemakan 'MADANI Muhibah'.
Sambutan itu bertujuan mengukuhkan kerjasama dan perpaduan pelbagai kaum dengan meraikan keunikan budaya Cina menerusi pelbagai aktiviti menarik seperti pertunjukan tarian naga, persembahan kebudayaan, hidangan pelbagai juadah istimewa dan pemberian ang pau kepada kanak-kanak.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Nga berkata semua kaum harus bersatu sebagai satu pasukan untuk mengangkat martabat negara dan membangunkan ekonomi serta tidak mempedulikan 'suara' yang cuba memecah-belahkan masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.
-- BERNAMA