Beliau berkata perbincangan itu melibatkan peraturan-peraturan yang akan digubal bagi mengelakkan pertindihan, selain memastikan semua perkara yang memerlukan kerjasama dapat dilaksanakan dengan lancar.
"Cuma apa yang perlu diharmonikan sekarang ini ialah bagaimana undang-undang Persekutuan dengan undang-undang negeri itu dapat diharmonikan, supaya apa saja pertindihan ataupun perkara yang memerlukan kerjasama, dapat diharmonikan melalui peraturan dan sebagainya.
"Itu yang akan dibincangkan sebab dalam penyimpanan karbon (merujuk kepada Sarawak) ini, sudah pasti ia melibatkan kerjasama di antara Persekutuan dan negeri (perkara yang melibatkan elemen lintas sempadan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Agihan Bubur Lambuk Kejiranan Mesra di Surau Darul Al Amin, Kampung Samariang Jaya di sini,hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air berkata Rang Undang-Undang (RUU) pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon yang telah diluluskan baru-baru ini, hanya terpakai untuk Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan.
"CCUS ini tidak melibatkan Sabah dan Sarawak, di mana Sarawak telah mempunyai undang-undangnya sendiri, yang mengatur aspek-aspek berkaitan dengan teknologi dan pengurusan karbon," katanya.
Khamis lepas, Dewan Rakyat secara sebulat suara meluluskan RUU CCUS 2025 untuk memberi peluang kepada pengembangan pelaburan dan ekonomi negara.
RUU itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.
Terdahulu ketika menggulungkan RUU berkenaan, Rafizi berkata kerajaan tidak akan mengeluarkan perbelanjaan untuk fasiliti CCUS.
-- BERNAMA
