KUANTAN: Setelah lima bulan menanggung kesedihan akibat kehilangan cahaya mata yang dinantikan selama 13 tahun, pasangan suami isteri ini tidak menyangka penderitaan mereka mendapat perhatian istimewa Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Mendapat panggilan daripada pegawai Tengku Ampuan Pahang pada awal Januari lepas, Mejar Mohd Fikry Amry Abd Halim dan isterinya, Sabrina Hakiem Zaini, masing-masing berusia 40 tahun melahirkan kesyukuran apabila ditawarkan rawatan kesuburan persenyawaan 'in-vitro' (IVF) daripada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

Mohd Fikry Amri bersama isterinya menyifatkan berita itu sebagai sebuah khabar yang sangat menggembirakan sekali gus mengharapkan ia dapat mengubati kesedihan mereka yang kehilangan anak lelaki berusia lapan bulan pada September lepas, didakwa didera pengasuh di sebuah taska di Melaka.

"Kami sebenarnya agak terkejut apabila kes kematian anak mendapat perhatian Tengku Ampuan Pahang dan sangat berbesar hati menerima tawaran IVF tersebut," kata Mohd Fikry.

Beliau bersama isterinya ditemui selepas Majlis Penyampaian Surat Tawaran Rawatan IVF kepada 65 pasangan suami isteri yang disempurnakan oleh Tunku Azizah di sini hari ini.

Bagi Sabrina, beliau mengharapkan rawatan IVF itu berjaya dan diberikan rezeki untuk sekali lagi menjadi ibu seterusnya membesarkan anak bagi mengubati kesedihan kehilangan anak sulung mereka.

"Waktu awal insiden yang menimpa kami sekeluarga memang agak terkejut, Alhamdulillah Tuhan bagi kekuatan untuk hadapi dengan tenang.

"Kami juga sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Tengku Ampuan Pahang kerana menawarkan rawatan IVF tanpa perlu memohon seperti pasangan lain. Bagi rawatan IVF ini, ia dirancang dibuat di Melaka," katanya.

Sementara itu, Tunku Azizah menzahirkan rasa syukur kerana sejak TAFF ditubuhkan pada 2005 telah dikurniakan 143 bayi membabitkan 120 pasangan menerusi kaedah IVF.

"TAFF menerima lebih 500 permohonan sejak 2020 hingga 2024 dan 65 pasangan ini amat bertuah melepasi semua syarat yang ditetapkan. Ini semua kurniaan Allah dan selain berusaha (rawatan), kita juga perlu berdoa.

"Segalanya berkat, usaha, doa, sabar dan tidak berputus asa, bahkan saya sendiri juga buat rawatan IVF sebanyak 17 kali, dan kuasa Allah akhirnya saya mendapat cahaya mata. Saya doakan kepada anda semua, semoga rawatan ini berjaya dan dimakbulkan Allah untuk memperoleh cahaya mata," titah baginda.

-- BERNAMA