Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata kesemua mereka itu, ditahan kira-kira 10 pagi di sebuah kondominium di Taman Kota Laksamana oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, pada Jumaat lepas.
"Mereka yang ditahan membabitkan tiga lelaki dan tiga wanita tempatan serta dua lelaki dan seorang perempuan warga China, berusia antara 26 hingga 43 tahun.
"Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam penipuan pekerjaan antarabangsa dengan menyasarkan mangsa daripada rakyat sebuah negara di Kepulauan Caribbean," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Md Nazri berkata hasil siasatan mendapati, modus operandi sindiket ini ialah mengiklankan tawaran pekerjaan palsu kepada mangsa menerusi laman sosial Facebook.
Beliau berkata mangsa yang berminat dengan tawaran itu akan berhubung dengan ahli sindiket melalui aplikasi WhatsApp atau Telegram dan mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuat 32 jenis tugasan menerusi laman sesawang https://amcsthatres.com.
"Kononnya ia bertujuan untuk menaikkan jumlah maklum balas hotel dan filem di negara terbabit dan apabila selesai tugasan pertama, mangsa yang berminat untuk meneruskannya akan diarahkan untuk membuat transaksi bayaran kepada ahli sindiket.
"Mangsa turut dijanjikan dengan komisen antara USD70 hingga USD100 bagi setiap tugasan yang berjaya dilakukan, namun selepas membuat bayaran mangsa tidak dibayar komisen seperti yang dijanjikan," katanya.
Md Nazri berkata sindiket itu juga dipercayai memperoleh keuntungan berjumlah RM54,000 sebulan hasil kegiatan mereka.
Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis barangan dianggarkan berjumlah RM30,000 iaitu antaranya satu komputer riba, tujuh komputer meja dan 49 telefon bimbit pelbagai jenama.
"Kesemua individu ditahan direman selama empat hari bermula 8 hingga 11 Feb dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.
Dalam pada itu beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menjadi mangsa dengan memastikan memohon pekerjaan melalui portal yang dipercayai dan tidak berkongsi maklumat peribadi seperti akaun bank sebelum pengesahan selain tidak terperdaya tawaran gaji terlalu lumayan.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)