Setiap warga negara Malaysia seharusnya menjadi seorang pemerhati pilihan raya, walaupun tidak melakukannya secara rasmi.

Itu kenyataan Gabungan Pemerhati Pilihan Raya Umum Ke-13 (PEMERHATI) pada Jumaat.

PEMERHATI, yang merupakan kerjasama antara empat badan bukan kerajaan dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR memantau pengendalian dan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), berkata ia merupakan tanggungjawab setiap warganegara.

“Tidak dapat jadi pemerhati rasmi, semua warganegara masih boleh belajar proses perjalanannya dan sepatutnya semua orang harus jadi pemerhati sendiri,” kata pegawai PEMERHATI Amin Ahmad, yang bertanggungjawab untuk penyerapan dan latihan.

Beliau berkata orang ramai boleh menyalurkan laporan dan gambar-gambar bukti kepada PEMERHATI semasa PRU-13. Empat badan yang menganggotai PEMERHATI adalah Institut Demokrasi dan Hubungan Ekonomi (IDEAS), ASLI Centre for Public Policy Studies, Merdeka Centre, dan Konfederasi Orang Kurang Upaya Malaysia,

“Orang ramai juga boleh jadi pemerhati dan hantar laporan secara online, kami akan menentukan kesahihan dan buat pengesahah,” katanya.

Pada masa yang sama, Amin menyeru orang ramai menyertai PEMERHATI untuk menjadi seorang sukarelawan rasmi yang memantau pengendalian PRU-13.

“Pemerhatian ada banyak proses, jangka panjang dan pendek. Kita sedang memantau sebelum hari pengundian, dari pembubaran sehingga hari pengundian, dan jangka pendek hari pengundian sahaja,” kata Amin.

Ketika ini, PEMERHATI sudah memulakan latihan, pengumpulan data dan masih mengharap untuk mengumpulkan lebih ramai sukarelawan.

“Kami telah pergi ke kawasan seperti di Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Kuala Lumpur, Selangor dan setakat 150 sukarelawan telah menyertainya,” katanya.

Amin berkata jumlah ini masih tidak mencukupi untuk mencapai sasaran untuk memerhati sekurang-kurangnya 42 kerusi, walaupun sasaran utamanya adalah 70 kerusi.

Beliau berkata kos yang dianggarkan lebih RM1 juta memang sukar ditanggung tanpa sokongan pihak swasta. Setakat ini, PEMERHATI telah dapat mengumpulkan RM50,000 hingga RM80,000 daripada organisasi sendiri.

Antara perkara yang ingin diperhatikan, katanya, adalah “memastikan institusi awam dapat bertugas secara berkecuali.”

“Sebab selepas pembubaran tiada lagi kerajaan secara rasmi, tidak ada Perdana Menteri, Menteri Besar, jadi kita tidak mahu kemudahan awam seperti dewan dan kereta digunakan untuk berkempen.

“Kita mahu tengok sama ada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 seperti insiden penipuan, kertas undi dan kertas penamaan calon palsu, penyamaran bukan pengundi, menggunakan kad pengenalan orang lain, rasuah dan ugutan,”katanya lagi.

Selain daripada itu, pemerhati sukarelawan juga akan memerhati apa yang mungkin terlepas pandang oleh SPR, cara pengendalian situasi tegang oleh polis dan cara kempen penyokong parti politik.

Amin berkata PEMERHATI juga akan meminta SPR menjawab isu-isu yang tidak ditangani untuk mencapai sasaran “PRU yang adil, bebas, berkecuali, lancar, aman, berjalan dengan baik.”

Ditanya dakwaan bahawa PEMERHATI tidak neutral, Amin berkata semua pandangan, sama ada “pro atau kontra” diterima dan kerana itu pihaknya mengalu-alukan pembabitan orang ramai yang dijemput untuk berbincang.