KUALA LUMPUR: Seorang lagi lelaki warga asing yang terlibat dalam insiden tembakan di perairan Tanjung Rhu, Banting, Selangor pada 24 Jan lepas meninggal dunia akibat kecederaan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, awal pagi semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata setakat ini kes berkenaan telah melibatkan dua kematian.

Beliau berkata pihaknya telah berjaya menahan dua suspek lelaki baru-baru ini di Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor yang dipercayai berada di dalam bot ketika kejadian.

"Pasukan Gerakan Am telah membuat operasi di sekitar Pulau Carey baru-baru dan berjaya menahan sekumpulan individu warga asing yang bersembunyi di situ, dua daripada mereka kita syaki berada di dalam bot yang terlibat dalam insiden tembakan berkenaan," katanya pada sidang media Op Palu sempena Thaipusam di Batu Caves di sini hari ini.

Hussein turut memaklumkan pihaknya telah merekodkan 31 keterangan daripada semua individu terlibat dan kertas siasatan telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara petang tadi.

"Kertas siasatan dilengkapkan mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960," katanya.

Beliau berkata pihaknya turut mendapat kerjasama daripada pihak Kedutaan Indonesia bagi mengesan seorang lagi individu warganegara berkenaan bagi membantu siasatan.

Hussein pada 24 Jan lepas mengesahkan seorang maut dan empat cedera dalam kejadian tembak di pantai Morib, Kuala Langat awal pagi 23 Jan dan mereka yang cedera dirawat di hospital di Klang dan Serdang.

Ia rentetan kes sebuah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor dilanggar oleh sebuah bot dipercayai milik suspek (mereka yang cedera) ketika menjalankan tugas rondaan perairan di Tanjung Rhu pada 3 pagi hari sama.

-- BERNAMA