Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan lelaki berusia 53 tahun tersebut.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan agar lelaki itu menjalani hukuman sebatan sebanyak tiga kali.
Pada Mei 2023, Mahkamah Sesyen menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dengan dua sebatan selepas lelaki itu mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kuala Selangor pada 2 petang dalam bulan Jun 2019.
Dia juga dijatuhi hukuman penjara tambahan selama 3 tahun dengan tiga sebatan mengikut Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan kesemua hukuman diarahkan berjalan serentak.
Rayuan lelaki itu terhadap hukuman telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada Januari tahun lepas.
Pada prosiding hari ini, peguam K.A. Ramu yang mewakili lelaki itu berhujah bahawa anak guamnya sudah insaf dan insiden itu hanya berlaku dalam tempoh lima saat namun Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari berkata ia telah menyebabkan mangsa mengalami trauma.
Sementara itu, panel sama turut mengurangkan hukuman penjara seorang bekas jurulatih Muay Thai iaitu Ahmad Tarmiza Othman daripada 18 tahun kepada 14 tahun bagi dua kesalahan merogol seorang remaja berusia 13 tahun di dua lokasi di Petaling Jaya, Selangor pada bulan Januari dan Ogos 2020.
Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan hukuman empat sebatan yang dijatuhi ke atasnya.
Ruzima berkata panel itu berpandangan bahawa hukuman penjara sembilan tahun yang dijatuhi oleh Mahkamah Sesyen bagi setiap pertuduhan adalah keterlaluan dan mengurangkannya kepada tujuh tahun bagi setiap pertuduhan serta mengarahkan hukuman itu berjalan serentak.
Ahmad Tarmiza, 35, yang mengaku bersalah dan diperintahkan menjalani hukuman itu secara serentak, telah mengemukakan rayuan namun ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 23 Julai tahun lepas.
Peguam Muhammad Danish Manoharan dan Muhammad Aiman Fauzi mewakili perayu manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Aizuddin Masrom hadir bagi pihak pendakwaan.
-- BERNAMA
