Di Kedah, seramai 349,966 pelajar dari 752 sekolah merangkumi 200,574 murid sekolah rendah dan 149,392 pelajar sekolah menengah memulakan sesi persekolahan.
Pengarah Pendidikan Negeri Kedah Ismail Othman berkata daripada jumlah itu 29,934 adalah murid Tahun Satu dan 30,194 pelajar Tingkatan Satu.
Tinjauan Bernama di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Genting dekat Pendang mendapati cuaca pagi ini sangat baik dan suasana ceria menyelubungi pelajar yang setelah sekian lama tidak bertemu rakan sekolah masing-masing.
Di Terengganu, seramai 256,869 pelajar melibatkan 149,314 murid sekolah rendah dan 107,555 pelajar sekolah menengah memulakan sesi persekolahan mereka di 506 sekolah.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Jelani Sulong berkata jumlah murid Tahun Satu bagi sesi akademik 2025/2026 juga meningkat kepada 23,254 orang berbanding 22,126 pada sesi akademik 2024/2025 lepas.
"Alhamdulillah, semua pelajar dapat memulakan sesi pembelajaran di 506 sekolah yang lengkap dengan kemudahan.
"Untuk minggu pertama tiada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dijalankan, hanya sesi orientasi atau takruf untuk memastikan proses penyesuaian pelajar kepada persekitaran sekolah," katanya ketika meninjau hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa Wakaf Tapai hari ini.
Beliau berkata Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM36,224,100 juga telah selesai diagihkan kepada 241,494 murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh Terengganu pada musim cuti sekolah baru-baru ini, manakala agihan untuk pelajar Tingkatan Enam dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dibuat bulan ini.
Sementara itu Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Mat Lazim Mohamad berkata 259,048 pelajar daripada 595 sekolah memulakan sesi persekolahan 2025/2026.
Beliau berkata jumlah itu juga termasuk 22 sekolah terkesan akibat banjir tahun lepas yang dapat beroperasi dengan lancar dan memuaskan.
Seorang bapa Zulfakri Ismail, 45, berkata beliau tidak melepaskan peluang menemani anaknya Mohd Zul Iman Fahri, 7, pada hari pertama persekolahan dengan tiba di SK Sultan Ismail 1, Kota Bharu seawal 6.30 pagi.
Beliau berkata dari malam tadi anaknya kelihatan teruja untuk hadir ke sekolah dan mengingatkannya untuk bangun awal bagi menghantarnya ke sekolah.
"Alhamdulillah pagi ini anak saya adalah murid Tahun Satu paling awal tiba ke sekolah dan telah menerima cenderahati dari pihak sekolah," katanya ketika ditemui Bernama.
-- BERNAMA
