KUALA LUMPUR: Sewaan 28 buah helikopter untuk kegunaan pelbagai agensi keselamatan negara telah dilakukan secara teratur dan bersandarkan keperluan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hujah tentang kelebihan pendekatan itu menurut beliau, telah disampaikan olehnya semasa sesi penggulungan Belanjawan 2025 (Peringkat Dasar) malah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyentuh perkara itu semasa Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada 28 Nov 2024.

"Bagaimanapun, perkara ini akan turut diulas dan dijawab sekali lagi oleh saya semasa sesi penggulungan kementerian bagi perbahasan kali ini yang dijadualkan pada 20 Feb ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat menuntut kerajaan memberi penjelasan berhubung pajakan 28 buah helikopter bagi tempoh 15 tahun menerusi kontrak bernilai RM16 bilion untuk kegunaan pasukan keselamatan negara.

Sebelum ini, Mohamed Khaled Nordin menerusi ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 memaklumkan, sebanyak 28 helikopter akan disewa kerajaan menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun.

Menurutnya, pajakan helikopter itu dibuat untuk beberapa agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia dengan 12 buah akan digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia; Polis Diraja Malaysia (tujuh); Tentera Laut Diraja Malaysia (dua); Jabatan Bomba dan Penyelamat (dua) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (empat).

-- BERNAMA