BATANG KALI: Loji Hidrokuasa Kecil Batang Kali (SHP Batang Kali) menjadi bukti usaha berterusan kerajaan negeri dan sektor swasta mengurangkan jejak karbon dan menyokong agenda tenaga lestari negara.


Ringkasan AI
  • Loji Hidrokuasa Kecil Batang Kali (SHP Batang Kali) dibina untuk mengurangkan jejak karbon dan menyokong agenda tenaga lestari, menghasilkan sehingga 5.1MW tenaga elektrik.
  • Projek ini merupakan permulaan kepada inisiatif yang lebih besar, dengan Selangor meneroka potensi sungai lain untuk meluaskan kapasiti tenaga hidrokuasa kecil.
  • Loji ini akan memberi manfaat kepada 12,900 kediaman di Batang Kali dan menyokong pengurangan karbon hampir 200,000 tan sepanjang 21 tahun operasinya.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembinaan loji hidrokuasa kecil ini membuktikan kemampuan negeri memimpin usaha menghasilkan penyelesaian tenaga yang lebih bersih dan hijau.

“Loji hidrokuasa kecil ini bukan sekadar memperlihatkan kemajuan infrastruktur, tetapi keupayaan kita menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan inovasi dan pembangunan mampan,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian SHP Batang Kali, pada Khamis.

Beliau juga memberitahu projek ini hanyalah permulaan kepada inisiatif yang lebih besar.

“Kejayaan projek ini hanyalah permulaan. Selangor telah bersedia dan sedang meneroka potensi beberapa sungai lain untuk meluaskan kapasiti tenaga hidrokuasa kecil.

“Ini akan mengukuhkan kedudukan kita sebagai peneraju tenaga boleh baharu di Malaysia,” katanya.

Loji Hidrokuasa Kecil (SHP) Batang Kali terletak di kawasan seluas 3.5 ekar di Batang Kali, Hulu Selangor, yang dimiliki oleh Worldwide Hydro Energy Sdn Bhd melalui Akta Pengambilan Tanah 1960.

Loji ini mampu menghasilkan sehingga 5.1MW tenaga elektrik, yang disambungkan kepada grid 33kV dan diuruskan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di PMU Ulu Yam sebagai fasiliti pengagihan yang terdekat.

Turbin air yang digunakan adalah dari jenama terkenal Eropah, Global Hydro (Austria), manakala penjana pula daripada syarikat Marelli Motori, Itali.

Sementara itu, loji ini akan memberi manfaat kepada 12,900 kediaman bertempat di Batang Kali serta mampu menyokong pengurangan karbon hampir 200,000 tan sepanjang 21 tahun loji ini beroperasi.