Ringkasan AI
- SPRM merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing dan 16 kilogram jongkang emas bernilai RM7 juta dalam siasatan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
- Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan 'safehouse', hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail yang ditahan bulan lalu.
- Ismail telah mengisytiharkan harta pada Februari lalu, dan SPRM akan memanggil 10 individu lagi untuk membantu siasatan yang tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana semasa beliau menerajui negara.
SPRM memberitahu, rampasan itu dilakukan ketika penggeledahan di sebuah kediaman dan tiga buah pejabat yang dipercayai dijadikan sebagai 'safehouse'.
Penggeledahan itu dilakukan hasil siasatan yang dijalankan ke atas empat pegawai kanan Ismail yang ditahan pada bulan lalu.
Menurutnya lagi, Ahli Parlimen Bera itu hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 19 Februari lalu untuk direkodkan keterangan.
"Namun SPRM tidak menolak kemungkinan beliau akan dipanggil semula bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Ahad.
SPRM menambah, sebelum itu pada 11 Disember lalu, Ismail diarah untuk mengisytiharkan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 dan pengisytiharan harta itu dilakukan beliau secara rasmi pada 10 Februari lalu.
Tambah SPRM lagi, pihaknya akan memanggil 10 individu lagi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Siasatan itu menurut SPRM adalah tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti ketika beliau menerajui negara.
SPRM sekali lagi menegaskan siasatan akan dijalankan secara bebas, profesional, dan mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.
SPRM juga komited untuk memastikan bahawa sebarang bentuk salah laku berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram ditangani dengan tegas demi kepentingan negara.
