Beliau berkata siasatan dijalankan menyeluruh merangkumi merekodkan keterangan prospek dan pegawai penjara yang bertugas pada hari kejadian.
Saifuddin Nasution berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga telah memanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memberikan maklum balas berkaitan insiden terbabit.
"Pada masa sama Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus turut menghubungi saya untuk menyatakan hasrat mereka berjumpa dengan pihak terlibat.
"Kita (KDN) akan beri kerjasama penuh, tetapi proses ini perlu dilakukan secara tertib dan berperingkat. Apa yang penting Jabatan Penjara sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan baik dan memberi kerjasama penuh kepada semua pihak berkepentingan dalam menyiasat insiden ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Prospek Sempena Hari Thaipusam dan Lawatan Kerja ke Penjara Sungai Petani di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kes kematian itu pada 17 Jan lepas dan pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, majlis hari ini diserikan dengan kehadiran 102 prospek dan ahli keluarga termasuk dari Pulau Pinang, Pahang dan Kuala Ketil dekat sini.
Saifuddin Nasution berkata program seumpama itu dapat meningkatkan motivasi prospek lain kerana dapat melihat bahawa kelakuan baik diberi penghargaan, sekali gus memberi dorongan kepada mereka untuk berusaha memperbaiki diri.
"Program ini diharap dapat memberi peluang kedua kepada prospek, membuktikan bahawa penjara bukan sekadar tempat hukuman, tetapi juga tempat pemulihan," katanya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)