Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya memerlukan saksi yang sesuai bagi memastikan dakwaan itu kukuh.
“Namun demikian apabila timbul isu baharu yang telah dilaporkan sebuah portal, maka saya telah arahkan pegawai penyiasat teruskan siasatan dengan panggil saksi yang berpatutan, saksi yang sesuai untuk memperjelas isu dilaporkan portal berkenaan.
“Sehingga kini semua telah dipanggil dan pegawai penyiasat dikehendaki menyiapkan keterangan serta kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
Jelasnya, kesukaran siasatan dalam kes ini bukan akibat campur tangan mana-mana pihak, sebaliknya kerana kekurangan maklumat.
“Dalam kes ini, whistleblower berkenaan masih tidak mahu kongsi video berkaitan, jadi maklumat kita ada itu terlalu sedikit dan sukarkan siasatan kami.
“Pada saya tidak adil salahkan Kerajaan Negeri Sabah atas ketidakpatuhan undang-undang atau mungkin isu tadbir urus, kerana ini tiada campur tangan mana-mana pihak. Kalau ada, sudah tentu orang awam tidak tahu perkembangan kes ini,” ujarnya.
Sebelum ini, Azam memberitahu, siasatan berkaitan kes itu turut dijalankan pihak polis di Sabah dan SPRM sentiasa bertukar maklumat untuk memastikan kelancaran proses.
Setakat ini SPRM membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)