KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Kesejahteraan Bandar dan Jawatankuasa Tindakan Pengindahan Bandar sebagai persediaan Kuala Lumpur yang bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, usaha ini bagi memastikan Kuala Lumpur benar-benar bersedia dari segi kebersihan, keindahan, kesejahteraan bandar, lalu lintas, penguatkuasaan serta penyelenggaraan infrastruktur.

“Pada 6 dan 7 Mei 2025, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, dengan Kuala Lumpur sebagai lokasi utama persidangan ini.

“Sebagai persediaan menghadapi sidang kemuncak ini, DBKL telah diberikan tanggungjawab untuk menganggotai Jawatankuasa Kecil Kesejahteraan Awam di peringkat nasional,” jelasnya

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan dalam Majlis Apresiasi Media 2025 di Dewan Kuki, Menara Berkembar Petronas (KLCC) di sini, pada Jumaat.

Ujar beliau, keindahan landskap, kecekapan sistem pengangkutan, kemesraan warga kota serta suasana bandar yang bersih dan selesa haruslah diketengahkan agar dunia dapat melihat Kuala Lumpur sebagai sebuah destinasi yang progresif, moden dan berdaya huni.

Oleh itu, Maimunah  berharap agar pihak media dapat memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam menampilkan imej positif Kuala Lumpur.

Selain Sidang Kemuncak ASEAN, Kuala Lumpur juga akan menjadi tuan rumah kepada dua lagi acara besar iaitu Meeting of Governors and Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC) dan Asian Sustainable Urban Forum yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 15 Ogos 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre dengan kerjasama Urbanice Malaysia.

“Dengan kehadiran pemimpin-pemimpin bandar utama di ASEAN dalam acara ini memberikan peluang kepada Kuala Lumpur untuk mempamerkan daya saingnya sebagai bandar raya yang mampan dan inovatif.

“Justeru, sekali lagi, kami menyeru agar pihak media dapat membantu dalam membawa naratif positif mengenai Kuala Lumpur di peringkat serantau dan antarabangsa,” tambahnya.