Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata lebih membimbangkan apabila kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat turut menjadi punca pertambahan kes meskipun polis proaktif dalam mengambil pelbagai tindakan bagi menangani jenayah terbabit.
"Kita lihat ke arah itu (sifat tamak dan perasaan ingin cepat kaya). Contohnya, apabila mangsa labur RM100,000, mereka sudah siap kira jumlah pulangan yang dijanjikan scammer, RM1 juta misalnya.
"Kesedaran itu masih rendah. Tetapi, macam saya cakap kita tidak berhenti memberi peringatan, dan kejadian ini tidak mengenal sesiapa ... tidak mengira warna kulit, status atau kerjaya. Sesiapa pun yang terperdaya akan terjebak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Sektor Swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu 2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata trend status mangsa ketika ini juga dilihat berubah apabila semakin banyak golongan profesional termasuk kakitangan kerajaan dan individu cerdik pandai yang menjadi mangsa berbanding sebelum ini apabila sindiket hanya menyasarkan golongan berpendapatan rendah.
Hal itu katanya, berlaku apabila mangsa terperdaya dengan janji manis scammer yang menawarkan pulangan tinggi hingga 10 peratus dalam tempoh singkat, mengalahkan skim pelaburan yang diiktiraf pihak berkuasa.
Berkongsi statistik kes jenayah itu pada tahun lepas, beliau berkata berlaku peningkatan kerugian hingga 23.3 peratus kepada lebih RM42 juta daripada 1,330 kes yang dilaporkan berbanding lebih RM34 juta daripada 1,237 kes direkodkan pada 2023.
"Bahkan, pada Januari tahun ini sahaja kita telah catat 153 kes dengan kerugian lebih RM3 juta berbanding tempoh sama tahun lepas, iaitu lebih RM2 juta daripada 123 kes.
"Bagaimanapun, polis telah melakukan 742 tangkapan pada 2024 berbanding 710 pada tahun sebelumnya," katanya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)