Ringkasan AI
- PDRM mengesahkan dua lelaki terlibat dalam insiden menyimbah cat ke atas kedai serbaneka KK Supermart di Universiti Malaya pada tengah malam Selasa.
- Premis tersebut telah ditutup sementara sejak 10 Januari, dan polis sedang giat mengesan suspek berdasarkan maklumat dan rakaman CCTV.
- Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, menyeru orang ramai dengan maklumat berkaitan kes tersebut untuk tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, berdasarkan siasatan dilakukan, pihaknya mendapati suspek terbabit adalah lelaki.
Beliau berkata, kedua-duanya tiba di premis berkenaan dengan menunggang motosikal dan melakukan perbuatan khianat berkenaan.
Kata beliau, siasatan turut mendapati premis tersebut telah ditutup sementara waktu sejak 10 Januari lalu, manakala kejadian khianat itu berlaku jam 12.30 tengah malam Selasa.
"Ketika kejadian, ada pekerja di kedai sebelah yang mendengar bunyi dan melihat simbahan cat.
"Berdasarkan maklumat dan siasatan dilakukan, pihak polis sedang giat mengesan dua pelaku terbabit," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri perhimpunan bulanan Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini.
Dalam pada itu, Rusdi turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta tampil bagi membantu siasatan.
Jelasnya, maklumat yang diperoleh sama ada kecil atau besar akan membantu pihaknya mengesan suspek terlibat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiga saksi sudah dirakam percakapan berhubung perbuatan khianat tersebut.
Ia susulan tindakan kedai serbaneka di UM itu yang terpalit dengan kontroversi menjual sandwic 'ham & cheese'.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood dilaporkan berkata, siasatan dijalankan secara menyeluruh daripada semua sudut termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Ku Mashariman berkata, pihaknya sedang menunggu rakaman CCTV lain di sekitar kawasan dalam UM bagi memudahkan siasatan untuk mengenalpasti suspek.
Polis mengesahkan kejadian sekitar pada 12.50 tengah malam selepas pengadu yang juga seorang anggota polis bantuan di UM dimaklumkan oleh pekerja kedai serbaneka berkenaan. -- Sinar Harian