Ringkasan AI
- Myanmar menyerahkan 261 warganegara asing, termasuk 15 rakyat Malaysia, kepada pihak berkuasa Thailand pada 12 Februari.
- Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang berhubung dengan pihak berkuasa Thailand untuk mengesahkan identiti rakyat Malaysia dan menyediakan bantuan konsular.
- Individu yang diserahkan dipercayai menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar dan kini ditempatkan di kem tentera Thailand sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Kementerian berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok kini berhubung rapat dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesahkan identiti rakyat Malaysia yang terlibat.
Ia berkata, setelah kelulusan daripada pihak berkuasa Thailand diperolehi, Kedutaan Besar Malaysia akan mengadakan lawatan konsular bagi memberikan bantuan konsular sewajarnya, termasuk menghubungi waris serta memudah cara urusan penghantaran pulang mereka ke Malaysia.
“Kesemua 261 individu tersebut kini ditempatkan di kem tentera Fort Vachiraprakan dan akan menjalani saringan National Referral Mechanism (NRM) di Thailand sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
“Setelah kelulusan daripada pihak berkuasa Thailand diperolehi, Kedutaan Besar Malaysia akan mengadakan lawatan konsular bagi memberikan bantuan konsular sewajarnya, termasuk menghubungi waris serta memudah cara urusan penghantaran pulang mereka ke Malaysia,” katanya lagi.
“Kementerian ini melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dan komited dalam menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terlibat,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan Kumpulan tentera etnik Karen (Democratic Karen Buddhist DKBA) pada Rabu telah menyerahkan sekurang-kurangnya 260 individu pelbagai kewarganegaraan dipercayai menjadi mangsa penipuan pekerjaan dalam operasi scam di Myanmar.
Trak-trak yang membawa kumpulan individu yang terlibat dalam pekerjaan secara paksa itu dilihat menyeberang ke sempadan Thailand dari Myanmar.
Memetik laporan AFP, kumpulan yang dibebaskan itu telah bekerja di pusat penipuan di Kyauk Khet, sebuah kampung di negeri Kayin di sepanjang sempadan Thai-Myanmar.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Phumtham Wechayachai berkata, beberapa negara telah menghubungi Thailand untuk proses verifikasi rakyat negara masing-masing.
Phumtham yang juga Menteri Pertahanan Thailand berkata, apabila mangsa yang diselamatkan tiba di Thailand, pihak kedutaan negara yang terlibat akan dihubungi untuk repatriasi.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)