Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pada 15 Jan lepas, wanita berusia 61 tahun itu dihubungi suspek mendakwa nombor telefon mangsa didaftarkan atas satu akaun Shopee yang menjual produk kecantikan tidak berdaftar.
Beliau berkata panggilan kemudiannya disambungkan kepada pihak polis yang mendakwa mangsa mempunyai rekod jenayah serta terlibat aktiviti haram dan kesemua akaun pengadu akan dibekukan.
"Bagi mengelakkan wang mangsa dari dibekukan, mangsa dicadangkan untuk memindahkan semua wangnya ke akaun bank yang diberikan oleh sindiket.
"Keesokan harinya (16 Jan), suspek yang memakai pelitup muka telah datang ke rumah pengadu dan memperkenalkan diri sebagai Insp Akmal dan meminta mangsa menyerahkan kad ATM Bank Islam bagi tujuan memindahkan wang dari akaun tersebut ke akaun bank yang selamat," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut Ramli, pada 18 Jan lepas, suspek telah kembali ke rumah mangsa dan memulangkan kad ATM Bank Islam dan meminta mangsa untuk menyerahkan kad Maybank miliknya pula untuk tujuan yang sama.
"Pada 20 Jan lepas, mangsa telah dihubungi dan diminta untuk memindahkan kesemua wang dari akaun ASB ke akaun Maybank, namun mangsa mula curiga dan bercerita perkara tersebut kepada keluarganya yang kemudian menyedarkannya bahawa beliau telah ditipu," katanya.
Beliau berkata laporan diterima di Kota Kinabalu pada 21 Jan lepas dan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan.
Ramli turut menegaskan pindahan panggilan antara agensi khususnya dalam kes 'phone scam' bukanlah cara kerja agensi kerajaan.
"Buat setakat ini, tidak berlaku panggilan dari Bank Negara Malaysia dipindahkan kepada pihak polis, mahkamah dan sebagainya malahan dalam kes ini, dari Shopee kepada pihak polis.
"Justeru, sekiranya menerima panggilan yang meragukan dan dipindahkan dari satu agensi ke agensi lain, maka ia adalah penipuan. Segera tamatkan panggilan tersebut bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan," katanya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)