Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam kenyataan memaklumkan serbuan yang bermula 10.30 pagi itu dilakukan Batalion 7 PGA, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kuantan dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang di Ladang Kelapa Sawit Simpai, Pekan dan Kawasan Perindustrian Gebeng di sini.
"Hasil serbuan menemukan puluhan guni sisa elektronik dan buangan terjadual seperti 'black powder' (tembaga/nikel), lebih 670 tan perak yang belum dan sudah diproses di samping pelbagai mesin dan jentera memproses bahan pelupusan tanpa dokumen JAS.
"Anggaran nilai rampasan mencecah RM410 juta dan kes disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Kanun Tanah Negara. Barang rampasan diserahkan kepada JAS Kuantan dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang untuk tindakan selanjutnya," menurut kenyataan itu.
Briged Tenggara PGA memaklumkan e-waste dan sisa buangan terjadual itu dipercayai dibawa masuk dari China untuk diproses dan dijual semula ke pasaran luar negara.
"Hasil operasi itu juga, seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warganegara China serta Bangladesh yang menjadi penjaga kepada kilang berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.
"PGA dan JAS akan terus mempergiatkan usaha melupuskan sisa elektronik dengan kaedah yang betul agar kualiti alam sekitar tidak tercemar daripada bahan yang berbahaya," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
