Menurut laporan The Straits Times (ST) yang memetik kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Isnin, Parvane Heidaridehkordi, 38, dibatalkan pas lawatan jangka panjangnya, manakala suaminya Soo Thean Ling, 65, kehilangan status penduduk tetap.
Parvane terlibat dalam operasi sebuah agensi pelancongan berdaftar di Singapura yang menaja permohonan visa warga asing berkaitan keganasan untuk memasuki negara itu.
Siasatan mendapati agensi pelancongan itu, yang kini telah dibatalkan pendaftarannya, sebenarnya berfungsi sebagai samaran bagi operasi yang dikendalikan oleh warga asing di luar negara.
ST melaporkan bahawa Soo cuba mendaftarkan sebuah syarikat bagi menjalankan perniagaan agensi pelancongan di Singapura sebanyak dua kali selepas pihak berkuasa memulakan siasatan terhadap agensi pelancongan pertama.
Menurut MHA, Soo merancang untuk membolehkan Parvane mengendalikan perniagaan itu, yang berkemungkinan akan terus menyokong kemasukan individu berkaitan keganasan ke Singapura.
Bagaimanapun, kedua-dua permohonan pendaftaran syarikat yang dikemukakan oleh Soo ditolak atas faktor keselamatan negara.
MHA memaklumkan bahawa Parvane diisytiharkan sebagai "pendatang tidak diingini" kerana terlibat dalam aktiviti yang mengancam keselamatan negara, manakala Soo turut diisytiharkan sebagai Pendatang Terlarang atas dasar anggota keluarga Parvane.
-- BERNAMA