PUTRAJAYA: Pengauditan terhadap hampir 2,000 syarikat milik kerajaan menggunakan sistem e-SelfAudit berasaskan kecerdasan buatan (AI) bertujuan menangani beberapa kelemahan seperti kegagalan mengurus dan menyelia operasi syarikat serta kerugian yang berterusan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Jabatan Audit Negara (JAN) akan melaksanakan pengauditan tersebut bermula tahun ini dengan pelaksanaan kaedah pengauditan rintis menggunakan sistem tersebut yang dimulakan sejak November 2024.

"Lebih penting, sistem ini dibangunkan secara dalaman melalui Projek Pendigitalan JAN tanpa implikasi kos tambahan kepada kerajaan," kata beliau dalam ucapan pada Majlis Peluncuran Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pengauditan ini bertujuan menangani isu tatakelola yang dikenal pasti dalam syarikat kerajaan termasuk kelemahan pemantauan terhadap laporan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan pelan strategik syarikat.

Antara isu lain yang dikenal pasti ialah kegagalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) memainkan peranan dalam mengurus dan menyelia operasi syarikat serta kerugian berterusan di peringkat syarikat induk dan anak syarikat.

-- BERNAMA