Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia memberi tumpuan kepada isu sumber manusia, peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan serta agihan petugas kesihatan yang tidak seimbang.
Jelasnya, ini merupakan tindakan susulan selepas mendapat maklum balas hasil sesi libat urus bersama lebih 1,000 pegawai dan pakar perubatan pada Jumaat.
"WBB dirancang untuk berjalan selari dengan sistem atas panggilan (on-call) sedia ada dan sistem syif bagi pegawai serta pakar perubatan. Ia bertujuan mengurangkan keletihan, meningkatkan kualiti hidup serta kebajikan dan menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan.
"Pelaksanaannya dengan sasaran untuk mengurangkan tempoh bekerja atas panggilan aktif daripada maksimum 33 jam kepada 18 jam untuk setiap sesi kerja kakitangan yang terlibat.
"Kedua, adalah memastikan mana-mana pegawai perubatan tidak bertugas melebihi 24 jam secara berterusan," katanya dalam sidang media khas, di sini, pada Jumaat.
Dr Dzulkefy menambah, pelaksanaannya turut menyasarkan untuk mengurangkan jumlah waktu bertugas yang kini mencecah 99 jam seminggu kepada 72 jam seminggu.
WBB merupakan cadangan jadual kerja baharu yang dirangka oleh petugas KKM menerusi siri libat urus sejak 22 Januari 2024.