KISAH cinta Raja Zulu Afrika Selatan telah mengejutkan negara itu dan mencetuskan kontroversi dalam kalangan rakyatnya yang konservatif, kerana baginda mencabar tradisi dengan memfailkan perceraian.

Poligami merupakan sebahagian daripada budaya Zulu, namun, Raja Misuzulu kaZwelithini mengambil langkah luar biasa dengan membawa kes ke mahkamah untuk menceraikan isteri pertamanya, Permaisuri Ntokozo kaMayisela.

"Semua orang terkejut. Tiada siapa menjangkakan raja akan pergi sejauh ini dengan memfailkan perceraian," kata Prof Gugu Mazibuko, pakar budaya dari Universiti Johannesburg, kepada BBC.

"Dalam budaya Zulu, tiada perceraian. Anda tidak sepatutnya menghalau isteri anda," tambahnya.

Dianggap sebagai "singa bangsa", Raja Zulu merupakan penjaga tradisi lama yang meletakkan perkahwinan dan poligami sebagai asas kejayaan diraja.

Walaupun peranannya di Afrika Selatan hanya bersifat simbolik, baginda tetap berpengaruh besar dengan peruntukan belanjawan tahunan kerajaan bernilai jutaan dolar.

Kehidupan peribadi yang kontroversi

Raja yang dibesarkan di negara jiran Eswatini, belajar di Amerika Syarikat (AS) dan menaiki takhta pada tahun 2021, kelihatannya sering mencetuskan kontroversi.

Pertabalannya dicabar di mahkamah oleh abang tirinya yang lebih tua, yang berusaha merampas takhta daripadanya.

Sementara perkahwinan keduanya juga kelihatan goyah, percubaannya untuk mengambil isteri ketiga menemui jalan buntu dan terdapat laporan mengenai hubungan sulitnya dengan seorang puteri muda.

Namun, kehidupan peribadi lelaki berusia 50 tahun itu sebelum ini hanya dibincangkan secara “diam-diam” – sehinggalah baginda memfailkan dokumen perceraian pada Disember lalu.

Prof Mazibuko mengakui, rekod sejarah menunjukkan seorang Raja Zulu pada abad ke-20 pernah menceraikan salah seorang permaisurinya, tetapi ia dirahsiakan kerana perceraian diraja bukan kebiasaan.

"Jika perkahwinan tidak berjaya, isteri itu masih akan tinggal di kediaman raja. Dia akan diberikan ruang sendiri. Dia tidak akan mempunyai hubungan dengan raja, tetapi dia dan anak-anaknya akan dijaga dengan baik."

Raja Misuzulu kaZwelithini mungkin telah "menangguhkan" perkahwinannya dengan isteri ketiganya, Nomzamo Myeni, tetapi pasangan itu muncul bersama minggu lalu di sebuah majlis rasmi.

Perkahwinan diraja

Sebelum menaiki takhta susulan kematian mengejut ayahanda dan bondanya empat tahun lalu, Putera Misuzulu ketika itu berkahwin dengan Ntokozo Mayisela.

Mereka sudah lama bercinta dan mempunyai dua orang anak, tetapi menurut Prof Musa Xulu dari Universiti Zululand, keputusan untuk berkahwin kelihatan tergesa-gesa.

"Nampaknya dia merasakan dia tidak boleh menjadi raja tanpa seorang isteri," katanya kepada BBC.

Permaisuri kaMayisela berasal dari keluarga biasa di sebuah bandar perlombongan kecil di wilayah KwaZulu-Natal.

Beliau menarik perhatian raja ketika bekerja sebagai penyanyi kabaret di sebuah restoran di Durban.
Kedudukannya sebagai permaisuri utama jelas ketika pertabalan rasmi raja pada Disember 2022, apabila dia duduk di sisi baginda.

Namun, statusnya kini terancam selepas raja menyatakan dalam dokumen mahkamah bahawa mereka tidak lagi hidup sebagai suami isteri selama sekurang-kurangnya setahun dan perkahwinan mereka telah musnah sepenuhnya.

Susulan itu, istana mengedarkan jemputan untuk perkahwinan raja dengan pengantin baharu, Nomzamo Myeni, yang dijadualkan berlangsung pada akhir Januari.

Mahar atau lobola sudah dibayar dalam bentuk ternakan lembu – aset yang sangat bernilai dalam budaya Zulu.

Perjuangan di mahkamah

Namun, Permaisuri kaMayisela tidak berdiam diri dan mengemukakan tuntutan mahkamah untuk menghalang perkahwinan itu, menyebabkan majlis tersebut ditangguhkan.

Beliau berhujah bahawa raja yang dikenali rakyatnya sebagai "Ingonyama" atau Singa – akan melakukan kesalahan bigami (berkahwin lebih daripada satu dalam undang-undang sivil) tanpa terlebih dahulu menukar perkahwinan sivil mereka kepada perkahwinan tradisional Zulu.

Namun, hakim menolak tuntutannya, dengan alasan bahawa beliau telah berubah fikiran kerana sebelum ini telah bersetuju bahawa suaminya boleh mengambil isteri lain.

Hakim juga menyatakan, raja telah pun berkahwin dengan Nozizwe kaMulela yang juga Pengarah Urusan Bank Eswatini pada 2022.

Prof Mazibuko menjelaskan, poligami pada asalnya bukan sebahagian daripada budaya Zulu – malah dua raja pertama mereka adalah bujang.

Namun, amalan itu diterima oleh raja-raja seterusnya – dan kini menjadi sebahagian daripada budaya Zulu.

"Itulah cara kami membina keluarga, terutamanya keluarga diraja," katanya.

Masalah bertambah rumit

Permaisuri kaMulela berasal dari keluarga berpengaruh di Eswatini dan perkahwinan mereka dikatakan diatur bagi mengukuhkan hubungan antara keluarga diraja.

Namun, tidak jelas sama ada mereka masih bersama, kerana beliau tidak kelihatan dalam acara budaya Zulu kebelakangan ini, menimbulkan spekulasi upacara perkahwinan mereka belum disempurnakan.

Masalah perkahwinan Raja Zulu nampaknya berpunca daripada kegagalannya mematuhi tradisi sepenuhnya.

Dalam kes isteri pertama, baginda memilih perkahwinan moden tanpa majlis perkahwinan tradisional.

"Bagi perkahwinan untuk sempurna dalam adat Zulu, mesti ada perhimpunan awam dengan nyanyian dan tarian," kata Prof Xulu.

"Pengantin perempuan mesti mendahului dengan nyanyian solo diiringi pengapit yang menari bersamanya.
Dia juga harus membawa lembing dan menyerahkannya kepada raja – dan selepas itu, tiada jalan untuk berpatah balik."

Akibatnya, Permaisuri kaMayisela kini tidak dilindungi oleh adat, hanya ditawarkan elaun bulanan sebanyak AS$1,100 (RM5,200) selama setahun – walaupun beliau dijangka menuntut lebih banyak sebelum kembali kepada kehidupan sebagai rakyat biasa, kata Prof Xulu.

Perkahwinan dengan isteri kedua juga dipersoalkan kerana walaupun lobola telah dibayar pada Januari 2022, orang dalam istana mendakwa, raja merasakan "mereka yang pergi membayar tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian" – dan perkahwinan itu belum diraikan dalam majlis umum.

Masa depan takhta Zulu

Nasib isteri ketiga yang bakal menjadi suri raja, Nomzamo Myeni juga tidak menentu kerana baginda gagal mengahwininya pada Januari walaupun mendapat kebenaran mahkamah.

Prof Xulu berkata, dalam budaya Zulu, perkahwinan yang "ditangguhkan" selalunya tidak akan berlaku.
Namun, Myeni masih dilihat bersama raja dalam acara rasmi, menunjukkan majlis perkahwinan mungkin tetap berlangsung setelah perceraian baginda dimuktamadkan.

Lebih mengejutkan, seorang pembantu istana mengesahkan kepada media tempatan bahawa ada "permaisuri baharu yang bakal diumumkan" – Sihle Mdluli, yang berasal dari keluarga diraja sebuah kumpulan etnik kecil di Afrika Selatan.

Beliau mungkin dinamakan sebagai "ibu negara" – gelaran yang akan menjadikannya permaisuri paling senior dengan anak-anaknya berkemungkinan menjadi pewaris takhta.

Namun, Prof Xulu tidak terkejut jika perkahwinan itu juga tidak menjadi kenyataan, kerana hubungan raja sering kali bermasalah.

"Saya tidak pasti sama ada baginda benar-benar bersedia untuk menjadi raja, dan sama ada baginda mempunyai penasihat yang baik," katanya.

Dengan skandal yang semakin menjejaskan kedudukannya, tidak mustahil cabaran terhadap takhtanya akan muncul semula.

Walaupun begitu, Prof Mazibuko menegaskan, perebutan kuasa dalam keluarga diraja Zulu bukanlah perkara baharu – perbezaannya cuma, kini ia berlaku di mahkamah dan bukan di medan perang.

"Baginda bukan raja pertama yang melalui banyak cabaran," katanya.

"Saya harap baginda bertahan dan segala-galanya kembali tenang." - CNN