PUTRAJAYA: Ketahanan dan kemajuan ekonomi Malaysia bergantung kepada akses pembiayaan yang inklusif -- sesuatu yang mudah dianggap remeh oleh mereka yang bekerja dalam sektor formal, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata ribuan perniagaan dan individu menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kelulusan pinjaman yang amat diperlukan bagi mengembangkan perniagaan atau memiliki rumah sendiri.

"Melalui program seperti Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan, kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memperkukuh perusahaan bumiputera dan menyokong pembeli rumah pertama dengan menyediakan jaminan kerajaan bagi mendapatkan pinjaman kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di platform Instagram rasminya, pada Sabtu.

Sejak diperkenalkan, Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) telah memudahkan jumlah pembiayaan PKS sebanyak RM102 bilion, memberi manfaat kepada 75,000 pemilik perniagaan kecil, katanya.

Beliau berkata Skim Jaminan Kredit Perumahan di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd (SJKP) pula telah memberi manfaat kepada 76,000 pembeli rumah pertama mendapatkan pinjaman perumahan berjumlah RM17.8 bilion secara keseluruhan.

"Angka ini membuktikan keberkesanan inisiatif kerajaan yang disasarkan serta permintaan yang tinggi untuk sokongan pembiayaan ini," katanya.

Amir Hamzah berkata Belanjawan 2025 telah memperuntukkan tambahan sejumlah RM20 bilion dalam bentuk jaminan melalui SJPP untuk pembiayaan PKS khususnya dalam sektor halal, teknologi tinggi, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pelancongan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM5 bilion diperuntukkan khas kepada perniagaan bumiputera dalam usaha memastikan peluang pertumbuhan yang lebih adil dan saksama.

Tambahan RM10 bilion dalam bentuk jaminan di bawah SJKP bagi 2025 akan membantu lebih ramai pekerja gig, pemilik perniagaan kecil dan pekerja sektor tidak formal mendapatkan pinjaman perumahan, katanya.

"Ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 20,000 rakyat Malaysia untuk memiliki rumah pertama mereka," katanya.

Amir Hamzah berkata akses pembiayaan yang saksama adalah pemangkin utama ke arah matlamat Kerangka Ekonomi MADANI yang bertujuan memperluas peluang ekonomi, menggalakkan keterangkuman kewangan, serta memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil.

-- BERNAMA