Kami berharap agar pencapaian legislatif ini dapat melindungi kebebasan media, menegakkan integriti kewartawanan, serta mengutamakan usaha dalam meraih kepercayaan masyarakat dalam landskap media di Malaysia. Dengan menetapkan piawaian etika, melaksanakan mekanisme penyelesaian aduan dan pertikaian, serta mempromosikan pembangunan profesional, MMM akan memperkasakan wartawan dan pengamal media untuk bekerja secara bebas sementara mematuhi prinsip serta etika kewartawanan yang tertinggi.
Kami mengharapkan bahawa MMM akan terus memelihara dan meningkatkan keyakinan terhadap media serta mengukuhkan ekosistem maklumat dan kebebasan bersuara. Hal ini penting tatkala persekitaran media sering dicemari penapisan kendiri, penyebaran maklumat palsu dan ucapan kebencian, laporan tidak beretika yang didorong oleh perkauman, fanatisme, misogini, atau xenofobia serta penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) dan algoritma demi memaksimumkan keuntungan ekonomi.
Sewaktu industri media tempatan sentiasa menghadapi cabaran ekonomi, kami melihat bahawa terdapat sejumlah amalan pembuangan serta pengecilan tenaga kerja di syarikat media. Situasi ini telah mendatangkan kebimbangan mengenai ketidakjaminan pekerjaan, penangguhan pembayaran gaji, serta persekitaran kerja yang buruk. Kami berharap agar MMM akan mengutamakan kebajikan pekerja media di samping menuntut syarikat media agar bertanggungjawab terhadap amalan buruh yang tidak adil. Dalam kata lain, MMM seharusnya memastikan syarikat media menegakkan standard penggajian yang beretika, melindungi hak wartawan, serta memastikan industri media di Malaysia adalah lestari, adil, dan bertanggungjawab.
Kami mempunyai aspirasi terhadap sebuah institusi yang mewujudkan persekitaran yang lestari serta memenuhi dan menegakkan Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara - dan kebebasan media sebagai lanjutan daripadanya - untuk semua rakyat di Malaysia.
Beberapa kebimbangan lain mengenai RUU
Meskipun kami menyokong kelulusan MMM, kami menegaskan keperluan untuk menangani isuisu utama bagi memastikan ia benar-benar berfungsi seperti yang diharapkan. Dalam hal ini, kami secara prinsip menolak kehadiran wakil kerajaan sebagai ahli lembaga MMM kerana melemahkan objektif dan tujuan sebagai badan kawal selia kendiri.
Dalam perbahasan Timbalan Menteri Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini, beliau menegaskan bahawa wakil kerajaan adalah dalam kalangan yang arif dengan industri media seperti Bernama dan RTM. Kami berharap agar janji ini menandakan komitmen daripada kerajaan dalam mempromosikan kebebasan media dan meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan berbanding manfaat politik.
Seterusnya, dalam memastikan bahawa penubuhan MMM bukan sekadar tindakan simbolik bagi memuaskan media dan masyarakat, kerajaan harus memperkasa dan memberi sumber daya yang mencukupi kepada MMM agar memenuhi mandat reformasi.
Perkara ini termasuk komitmen kerajaan untuk memansuhkan undang-undang yang menindas seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998, Seksyen 114A Akta Keterangan 1950, serta Seksyen 499 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan (jenayah fitnah) di samping meminda akta lain seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Tanpa reformasi perundangan yang dibuat secara serentak dan segera, keberkesanan MMM akan terjejas sekali gus menjadi sebuah institusi yang tidak efektif di Malaysia. Justeru, kami turut menggesa kerajaan untuk mengemukakan pelan tindakan dan garis masa yang jelas bagi reformasi perundangan media dalam usaha mencapai kebebasan media yang sebenar di Malaysia.
Memastikan keberkesanan MMC
Malaysia telah jatuh sebanyak 34 anak tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia, daripada kedudukan ke-73 pada tahun 2023 kepada kedudukan ke-107 pada tahun 2024 berdasarkan Reporters Without Borders (RSF). Ini mencerminkan rekod buruk Malaysia dalam mengekalkan kebebasan media. Sehubungan itu, kami mengakui bahawa media yang bebas dan bertanggungjawab selaku kuasa keempat adalah tunjang utama demokrasi. Kami berharap agar MMM dapat memainkan peranan penting dalam menjalankan fungsinya untuk memperkasa media, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif dalam memperbaiki kedudukan antarabangsa dari sudut kebebasan media.
Akhir sekali, kami menyeru semua pihak berkepentingan, termasuk pembuat dasar, media, wartawan, organisasi masyarakat sivil, dan orang awam untuk menyokong inisiatif ini bagi memastikan pelaksanaannya berjaya dengan penambahbaikan yang diperlukan demi masa depan landskap media dan demokrasi di Malaysia. Kami menyeru semua organisasi media untuk menyertai MMM serta berdiri teguh bagi mempertahankan integriti media sebagai kuasa keempat.
Dikeluarkan oleh:
1) Centre for Independent Journalism (CIJ)
2) ARTICLE 19
3) Gerakan Media Merdeka (GERAMM)
4) Justice for Sisters (JFS)
5) Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
6) Sinar Project
7) Amnesty International Malaysia
8) Malaysian Center for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR)
9) National Union of Journalists Peninsular Malaysia (NUJM)
10) KRYSS Network
Disokong oleh:
1) North South Initiative
2) Pusat Komas
3) Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (Bersih)
4) SIUMAN Collective
5) Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
6) Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & KL (Family Frontiers)
7) Development of Human Resources for Rural Areas (DHRRA), Malaysia
