Ringkasan AI
- SPRM mengintegrasikan teknologi blockchain dan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi dan siasatan untuk memerangi jenayah rasuah yang semakin canggih dan sukar dijejak.
- SPRM melengkapkan pegawai dengan alatan forensik canggih dan perisian analitik data, serta menyediakan latihan khusus dalam bidang kewangan, perakaunan, kejuruteraan, dan teknologi.
- SPRM komited memantau sektor utama seperti penguatkuasaan undang-undang dan perolehan awam, sejajar dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) untuk mengukuhkan integriti dan ketelusan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan hari ini berkata perkembangan teknologi dari semasa ke semasa turut membawa kepada cabaran baharu dalam menangani jenayah rasuah yang semakin kompleks.
Ia merangkumi jenayah siber, penipuan mata wang kripto (Cryptocurrency) dan penyalahgunaan AI yang menjadikan kegiatan jenayah semakin canggih, sukar dijejak serta sering bersifat transnasional.
"Kemajuan teknologi sebenarnya boleh dimanfaatkan (contohnya) dengan penggunaan AI termasuk penggunaan daripada aspek analitik data serta teknologi 'blockchain'.
"(Teknologi) 'blockchain' membolehkan rekod transaksi yang tidak boleh diubah manakala penggunaan AI dapat mengesan corak penipuan dan ketidakteraturan kewangan," katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena ucaptama Azam pada Persidangan Antarabangsa Ketiga Dalam Teknologi, Kemanusiaan dan Pengurusan (ICTHM) 2025 di Maldives.
Azam berkata SPRM ketika ini telah melengkapkan pegawainya dengan alatan forensik yang canggih serta perisian data analitik yang pelbagai jenis termasuk menyediakan latihan khusus dalam bidang seperti kewangan, perakaunan, kejuruteraan serta teknologi.
Beliau berkata Bahagian Perisikan, Bahagian Forensik Teknologi (BFT) dan Bahagian Analisa Kewangan (BAK) SPRM diletakkan berada di barisan hadapan dengan kelengkapan dan kepakaran terkini untuk menjalankan forensik digital serta siasatan kewangan.
"Malah, atas usaha ini, Makmal Forensik SPRM baru-baru ini telah menerima akreditasi ISO/IEC 17025:2017 yang mengesahkan pengiktirafan global terhadap kerja analisis forensik dalam bidang teknologi," katanya.
Beliau berkata SPRM turut menyokong penggunaan platform digital seperti sistem e-perolehan yang mempromosikan ketelusan dalam perolehan awam dan peralihan kepada sistem tanpa tunai yang mengurangkan rasuah serta salah urus dana awam.
"Sistem seperti ini memastikan bahawa subsidi, kebajikan dan gaji dipindahkan terus kepada penerima manfaat tanpa perantara sekali gus mengurangkan peluang berlakunya rasuah," katanya.
Sementara itu, Azam berkata SPRM komited untuk memantau sektor-sektor utama seperti penguatkuasaan undang-undang, perolehan awam dan rasuah besar (Grand Corruption) sebagai satu daripada agenda utama memerangi rasuah serta ketirisan.
Komitmen itu, sejajar dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) Malaysia yang bertujuan mengukuhkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti di pelbagai sektor.
"SPRM mengutamakan pembangunan berterusan pegawai dengan menghantar mereka ke program latihan khusus yang relevan untuk memperluas pengetahuan serta kemahiran mereka," katanya.
Beliau berkata Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) turut memainkan peranan penting dalam membentuk kepimpinan beretika serta memperkukuh usaha antirasuah melalui pendidikan dan kerjasama antarabangsa.
-- BERNAMA