Sumber SPRM memaklumkan perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga Jumaat terhadap lelaki berusia 30-an itu dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, selepas permohonan dibuat SPRM.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.
"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara Julai hingga September 2023. Suspek juga disyaki menerima suapan melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya," menurut sumber.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan wakil beberapa buah pusat jagaan lain akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
