Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi berkata, arahan itu selepas Ismail Sabri selesai dirakam keterangan lebih lima jam pada Khamis.
Dalam masa sama, Azam turut menepis spekulasi bahawa SPRM akan menahan Ahli Parlimen Bera itu ketika tampil memberi keterangan pada Khamis.
Katanya, masih ada beberapa perkara perlu diteliti SPRM menerusi hasil siasatan setakat ini.
"Kami telah letak ramai petugas untuk siasat kes ini sebab terdapat ratusan dokumen yang perlu dianalisis.
"Jadi, SPRM perlu melengkapkan proses merakam keterangan sebelum memutuskan apa yang diperlukan bagi tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Rentetan itu, beliau berharap semua pihak dapat memberi ruang kepada pasukan penyiasat untuk memastikan kes ini dikendali secara menyeluruh dan telus.
Terdahulu, Ismail selesai memberi keterangan selepas lebih lima jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, dan beredar meninggalkan bangunan berkenaan jam 3.15 petang.
Rakaman percakapan itu diteruskan oleh SPRM selepas tempoh cuti sakit Ismail Sabri tamat pada Rabu.
Ismail Sabri sepatutnya dijadual hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 5 Mac untuk memberi keterangan.
Namun, beliau tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan dan telah diberi sijil cuti sakit oleh doktor yang merawatnya sehingga semalam.
Sebelum ini, SPRM mendedahkan, wang tunai RM170 juta dengan pelbagai mata wang serta jongkong emas ditemui di sebuah kondominium di ibu negara yang dijadikan safehouse oleh pembantu kepada bekas Perdana Menteri itu.
