Menurut sumber, suspek wanita berumur lingkungan 40-an dan suspek lelaki, 60-an, itu ditahan antara 7 malam hingga 11 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang masing-masing merupakan ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat tersenarai awam dan pengarah syarikat disyaki bersubahat mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu untuk mengeluarkan wang syarikat berjumlah kira-kira RM2.6 juta yang kemudian dipindahkan ke akaun syarikat suspek wanita itu bekerja," katanya.
Perintah reman selama empat hari hingga 17 Feb ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Semalam, media melaporkan SPRM menahan empat individu membabitkan dua pengarah syarikat dan dua naib presiden kanan syarikat termasuk seorang bergelar Datuk berumur 50 hingga 60-an membabitkan kes yang sama.
Lelaki bergelar Datuk itu direman selama lima hari hingga 17 Feb manakala tiga lagi suspek masing-masing dua lelaki dan seorang wanita direman empat hari hingga Ahad.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)