Ringkasan AI
- Sepasang suami isteri, Rahim Usani Husin dan Norhayati Mohd Shukur, menghasilkan 10-15 kg buah kabung sehari sepanjang Ramadan untuk memenuhi permintaan pelanggan.
- Proses penyediaan buah kabung melibatkan beberapa peringkat seperti memisahkan buah daripada tandan, merebus, mengeluarkan isi, dan memasaknya dengan betul untuk mengelakkan gatal tekak.
- Permintaan terhadap buah kabung semakin meningkat, terutama dalam kalangan warga emas, namun bekalan semakin mencabar diperoleh kerana pokoknya berkurangan akibat pembangunan dan perubahan alam sekitar.
Bagi Rahim Usani Husin, 59, dan isterinya, Norhayati Mohd Shukur, 49, Ramadan merupakan peluang kepada mereka sekeluarga untuk mencari rezeki lebih dengan menjual buah berkenaan.
"Setiap hari, kami akan sediakan buah kabung sehingga 15kg untuk dijual pada harga RM6 hingga RM10 sebungkus, bergantung kepada beratnya," katanya pada Ahad.
Rahim memberitahu, beberapa peringkat proses perlu dilakukan sebelum buah kabung boleh dimakan, termasuk memisahkan buah daripada tandan, merebus, mengeluarkan isi, dan memasaknya.
Ujarnya, buah kabung sira atau tidak disira boleh menyebabkan gatal tekak selepas dimakan jika, proses penyediaannya tidak dilakukan dengan betul.
"Selaput nipis berwarna kekuningan pada buah kabung terlebih dahulu perlu dibuang.
"Jadi, tanpa pengalaman dan kemahiran, buah kabung yang dihasilkan boleh memudaratkan mereka yang memakannya," ujarnya yang menetap di Kampung Pulau Rumput.
Menurut Rahim, permintaan terhadap buah kabung semakin meningkat, terutama dalam kalangan warga emas yang masih menggemari rasa buah tersebut.
Bagaimanapun, katanya, usaha mendapatkan bekalan buah kabung kini semakin mencabar kerana pokoknya semakin berkurangan akibat pembangunan dan perubahan alam sekitar.
"Selain itu, musim berbuah tidak menentu turut memberi kesan terhadap pengeluaran buah kabung, menyebabkan bekalan kadang-kala tidak mencukupi.
"Selagi ada permintaan, saya akan terus mengusahakan buah kabung kerana ia bukan sekadar sumber pendapatan, tetapi juga warisan makanan tradisional yang perlu dikekalkan," katanya. -Sinar Harian
