SHAH ALAM: Sepasang suami isteri dilaporkan maut selepas motosikal berkuasa tinggi Kawasaki GTR1400 yang dinaiki terbabit kemalangan di Chumphon, Thailand pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Sepasang suami isteri, Mohd Sofi Ismail dan Zaimima Ismail, maut dalam kemalangan motosikal di Chumphon, Thailand pada Isnin. Mereka meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 9 pagi waktu tempatan.
  • Kemalangan berlaku ketika pasangan tersebut bersama empat rakan dalam perjalanan pulang dari Thailand ke Pulau Pinang. Motosikal mereka terbabas sendiri kerana jalan licin akibat hujan.
  • Jenazah pasangan tersebut telah dibawa ke Hospital Chumphon dan sedang diuruskan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Jenazah dijangka tiba di sempadan Malaysia-Thailand pada Selasa dan akan dibawa ke kampung halaman keluarga Zaimima di Merbau Pulas, Kedah untuk urusan pengebumian.


Mohd Sofi Ismail dan isteri, Zaimima Ismail, masing-masing berusia 43 tahun, meninggal dunia di lokasi jam 9 pagi waktu tempatan.

Perkhabaran kemalangan maut itu dikongsikan oleh Muhammad Arashid Ramli, 39, yang merupakan rakan Allahyarham.

Muhammad Arashid berkata, dia menerima perkhabaran menyedihkan itu daripada seorang rakan yang turut sama mengikuti konvoi ke Thailand sekitar jam 10.30 pagi.

Katanya, pasangan tersebut bersama empat lagi rakan dalam perjalanan pulang dari Thailand ke Pulau Pinang.

"Kumpulan konvoi itu sudah hampir dua minggu berada di Thailand.

"Semasa kejadian, motosikal ditunggang arwah terbabas sendiri kerana jalan licin akibat hujan," katanya pada Isnin.

Menurutnya, pasangan tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan jenazah telah dibawa ke Hospital Chumphon.

Katanya, empat rakan konvoi yang berada di Thailand ketika ini berusaha membantu menguruskan jenazah untuk dibawa pulang ke tanahair.

Ujarnya, jenazah dijangka tiba di sempadan Malaysia-Thailand pada Selasa dan proses tuntutan jenazah dijangka akan mengambil sedikit masa.

"Jenazah difahamkan akan dibawa ke kampung halaman keluarga Zaimima di Merbau Pulas, Kedah untuk urusan pengebumian," katanya. -Sinar Harian