Dalam kejadian pada jam 5 pagi itu, pasangan tersebut maut di tempat kejadian setelah motosikal mereka terbabas lalu bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan polis mendapati mangsa sebelum itu bersama rakannya yang lain masing-masing menunggang dua motosikal.
“Pasangan itu balik ke rumahnya di Kampung Sungai Miak, Karak selepas menghadiri majlis perkahwinan di Lurah Biut dekat sini.
"Ketika tiba di tempat kejadian, motosikal pasangan berkenaan cuba memotong motosikal di hadapannya lalu terbabas ke laluan bertentangan,” katanya.

Katanya, motosikal pasangan berkenaan kemudiannya bertembung bahagian sisi dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 49 tahun tahun dari Johor yang memandu ke arah Raub.
Menurut Zaiham, pasangan suami isteri itu disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di tempat kejadian, manakala dua lagi pembonceng menerima rawatan di Hospital Bentong.
Katanya, pemandu kenderaan pacuan itu tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong untuk membantu siasatan,” katanya lagi.